Thursday, August 13, 2015

Wajah-Wajah Yang Menanti

“Beban ujian yang tak terkalahkan, buat upaya rasa lemah. Untuk kali ini, dongak kepala dan lihat sinar mentari.

Ada wajah-wajah dan peribadi yang menanti untuk melihat senyuman kamu, mendengar tutur katamu. 

Jangan hampakan mereka dengan sugul wajah sendu itu. Pautkan manis wajah walau dalam susah dan kedu.

Dari situ, duka akan perlahan diluntur bahagia.”

Thursday, June 25, 2015

Fungsi Hina Dan Caci Maki Manusia

Bismillahi Rabbil 'Ula,

Gunanya hina dan caci maki manusia, zahirkan sisi buruk kita yang terpendam. 

Di situ kita boleh menemukan sikap diri yang kurang sabar, pemarah dan mulut yang tidak keruan. 

Bila tersingkap sisi hati yang jelik, nah, tugasnya hanya tinggal untuk dipulihkan secara perlahan-lahan.

Berbahagialah bila dihina dan dimaki, ianya diagnosis langsung daripada tuhan, demi menjadikan diri lebih sempurna hatinya.

Wednesday, June 24, 2015

Kasihkan, Bukan Sisihkan

Kerana cinta itu anugerah Pencipta,
Menghinanya menghina Maha Esa.

Mereka yang sulit mengemudi fitrah, hingga terjerumus dalam liarnya cinta,

Bantulah, jangan diporak perandakan dengan sindiran tajam kata kata.

Lidah itu tuhan beri untuk berkata baik, melembut perasaan membelai jiwa. Bantu mereka faham kalimah Allah Maha Kuasa.

Bukan biar lidah diperkuda kata kata keji terilham daripada syaitan, merosak hati dan perasaan, membungkam setiap asa.

Moga dengan kekuatan iman, kita bermadah bicara semata redhaNya..

PR.

Sunday, June 21, 2015

Tok Dan Geng Tadarusnya




Bismillahi Rabbil 'Ula

Beberapa hari lalu,

4 Ramadhan

Tadi, lepas subuh di surau tanjung. Sempat sambung tilawah quran sikit, yang sebelum ni ketinggalan.

Masa tengah baca tu, terdengar di bahagian solat perempuan, bacaan tadarus quran berkumpulan tok dengan kawan-kawannya.

Terkejut.

Ternganga-nganga aku, tok dan geng-geng tadarusnya dah sampai juz 10, surah Taubah.

Aku? Baru juz 2, surah Ali Imran.

Tok and her tadarus comrades is 5 times faster than me!

The best part is, grandma and her friend's age, is around 70-80 years old!

Lame badah, lame! Loser is me.

Tak tahu nak cakap apa. Aku yang muda ni, dah la Allah beri tenaga, kesihatan. 

Tak dapat juga nak sebaris dengan tok yang berganda tua umurnya, dalam tilawah. Bahkan ketinggalan lagi. Allahu.

Sentap sangat rasa. Tebal habis muka. Malu. Rasa macam kena gelak ramai ramai pon ada.

Ada sesuatu yang aku belajar kali ni,

Teringat kata-kata salah seorang ulama' semasa yang hebat, Sheikh Soleh Al 'Uthaimin,

"Tua (lemah) tu ada dua, pertamanya tua kekuatan, keduanya tua keinginan"

Orang muda, walaupun ada kekuatan, tapi kalau keinginannya untuk kejar redha Allah lemah. Tak ada manfaat tenaga yang Allah beri.

Lebih baik orang tua, yang lemah kekuatannya, tapi keinginan untuk dapatkan redha Allah tinggi. Kudrat tua mereka tak jadi belenggu.

Mungkin Allah nak tegur supaya jangan malas malas. 

Kena kuatkan semangat kejar Dia dalam ibadah yang bersungguh, hati yang penuh motivasi. *warghh*|

Biar muda dan sihat, gemblengnya hanya untuk Dia. 

Harapnya aku mampu. Harapnya.

InsyaAllah.



Tuesday, June 16, 2015

Catatan Lalu Cebis Rasa Dan Pengalaman

Bismillahi Rabbil 'Ula.

Sanaa. Teringat memori di sana, sama sama kenal islam, sama sama islah diri. Tak kira bangsa dan warna kulit. Nyanyi nasyid ukhuwwah yang tak pernah bosan didengar. Biar suara tak semantap Maher Zain atau Hafiz Hamidun.

Saling mendoa itu rutin. Antaranya yang paling terkumat kamit bila duduk duduk bersama, atau terserempak di jalanan, 

"Allah yujziikal kheir"*

"Allahummaj'al lana thabat fid dakwah"*

Sama sama ucap uhibbuka fillah*, dengan sepenuh hati. Siap berseloroh dengan zawwajakAllahu bikran*. Indah.

Memori itu, tak pernah gagal menghabuk hujung mata bersama senyum.

Tempoh hari pula,

Abi tunjuk gambar kawan kawan dia masa belajar dulu, yang diambil lepas pengebumian arwah kawan sepelajaran abi di Universiti Al-Azhar tengah hari lepas. Lebih kurang macam reunion kecil lah.

Then abi kata,

"kami dulu sama sama semangat nak sebarkan islam. Saling menguat antara satu sama lain. Dan kalau masih bersama hingga sekarang, dakwah islah di malaysia boleh jadi jauh berkembang pesat. Tapi sebab gagasan berbeza, tak dapat bersama dah sekarang".

Sambil tenung skrin telefon, nampak mata abi berkaca. Abi kesat mata dengan hujung jari dan tukar topik lain. Aku buat buat tak nampak.

Allahu.

Betul lah, pengalaman dalam gerak kerja islam bersama rakan sekomrad, sesuatu yang indahnya tak terungkap.

Bukan saja abi, tapi aku yakin, semua yang mengabdi jasad dan batang tubuh mereka kerana Allah di dalam satu saf, merasakan sesuatu yang sama.

Aku juga tak terkecuali merasakan. Biar tak sampai setahun jagung menempuhnya.

Apa yang pasti, doa untuk ditetapkan Allah dalam perjuangan islam, takkan lekang diucap.

Lafaz Rabithah syahdu dengan ruh perjuangan membela agama Allah, langsung jadi penguat diri dan sahabat.

Aku mahu jadi tentaraNya, karyawanNya. Hingga mati mengganti nyawa.

Allahummasyhad.

...

*Allah yujziikal kheir : moga Allah ganjarkan kebaikan

*Allahummaj'al lana thabat fid dakwah : Ya Allah tetapkan kami dalam jalan dakwah

*zawwajakAllahu bikran : Moga Allah mengisterikan kamu dengan gadis perawan

*Uhibbuka fillah : Aku mencintaimu kerana Allah


*Saat saat akhir sebelum terpisah dengan sahabat seuniversiti. Moga Allah jagakan kalian. Di dunia, hingga ke syurgaNya. *Tears*

Wednesday, March 11, 2015

Hidupkan Enjin, Kembara Bermula Lagi!

Bismillahi Rabbil 'Ula..

Lama. Sangat lama tak berkongsi apa yang di rasa. 

Dengan kesibukan *lah sangat*, serabut pasal pergolakan tempat belajar, signup laman laman sosial yang tak pernah signup sebelum ni, malas, lupa. Mungkin sebab utama blog ni dilupakan hari demi hari. 

Banyak banyak sebab, rasanya malas paling mendominasi. Hahahaha. 

Fuhh.. Sengal punya malas. 

Jadi, kenapa tetiba teringat nak update? 

Ada lah sorang member ni, sembang sembang pasal blog yang berhabuk dah lama tak update. Dia pun ada sharing sikit apa yang dia post sebelum ni.

Then aku pun, 

"Punya lah lama ada akaun blogger, tak update bertahun. So, why not sambung balik update, walaupun sikit?"

Haha. Harap alasannya cukup logik. Tambahan, aku pun nak belajar menulis perlahan perlahan, alang dah ada platform, go on je. 

Moganya lebih konsisten lah lepas ni nak kongsi idea kat sini. Walaupun tak best, kongsi jugak. Haha. Yang penting kongsi. Biar tak ada orang baca pun.

Allahu bismik, aku mulakan kembali kembara yang terhenti lebih dua tahun ini..

   

Saturday, December 8, 2012

Again and Again

selalu membaharui insyaAllah.. (",)


Bismillahi Rabbil 'Ula..

Manusia sememangnya tak lari dari kesilapan. Kecil besar, sengaja tak sengaja..


Pokoknya, membuat kesilapan termasuk dalam fitrah insan. Kecuali para rasul dan anbiya' 'alaihimussalam, mereka maksum semuanya. Allah menjaga mereka.


Jaga diri macam mana pun, silap salah pasti berlaku. Bagai jasad dengan bayang-bayang, Lekat. Langsung tak terpisah walau seinci.


Tapi rahmat Allah mengatasi segala-galanya. Walau kita ni insan yang tidak maksum dan selalu buat dosa, Allah beri peluang kita untuk taubat dan mohon ampun pada-Nya. Biar berpuluh, beribu, beratus kali kita buat kesalahan dan dosa yang sama, Allah tetap mengampunkan, selagi mana nyawa dikandung. Maha Suci Allah yang Maha Pengampun.


"Dan barang siapa berbuat kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian dia memohon ampunan kepada Allah, nescaya dia akan mendapatkan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang ", [surah anNisa' 110]


Salah satu kisah dalam maksud riwayat baginda saw,


Seorang pemuda telah membunuh 99 nyawa manusia. Dia akhirnya menyesal dan ingin bertaubat. Lalu pergi berjumpa dengan seorang rahib. Ditanyakan pada abid tersebut adakah baginya peluang untuk bertaubat, sedangkan dia telah membunuh ramai orang. Abid itu dengan lantangnya menyatakan tiada taubat bagi lelaki itu. Kesalahan yang dilakukannya terlampau besar. 


Pemuda itu berang dengan kenyataan rahib. Genaplah angka ke-100 apabila abid tersebut turut dibunuh. 


Kesekian kalinya dia menyesal dengan tindakannya, membunuh seorang lagi manusia. Pemuda pun berjumpa dengan seorang alim *orang berilmu*. Diberitahu padanya seperti mana diberitahu pada abid. 


Orang alim itu kemudiannya menyatakan kesalahan yang dilakukan pemuda itu boleh diampunkan Allah swt, dengan syarat pemuda itu mesti berpindah ke bumi lain, berhijrah dari suasana yang buruk kepada kepada suasana yang baik. Pergi ke tempat mereka yang menyembah Allah, dan menyertai bersama-sama penduduk dalam menyembah Allah


Ditakdirkan Allah, dia meninggal dunia sewaktu perjalanannya. 2 malaikat datang, malaikat azab dan rahmat, berebut ingin mendapatkan hak mengambil lelaki tersebut. Akhirnya malaikat Jibri as mengadili dan pada malaikat rahmat diberi hak mengambil. Sebabnya, bumi baik yang ingin didatangi lebih dekat jaraknya. [ 3470 Sahih Bukhari & 2766 Sahih Muslim, bab taubat ]


Seorang ustaz murobbi dalam pengisiannya ada berkongsi,


"Setiap kali kita berbuat dosa, segeralah bertaubat. Biarpun berulang-ulang kali. Buat dosa terus taubat, buat dosa terus taubat. Jangan pernah mengalah, taubat dan terus bertaubat. Katakan tidak pada saranan syaitan untuk berputus asa dari bertaubat disebabkan dosa kita yang berulang.."


Ya, jangan sesekali putus asa untuk bertaubat, jangan putus asa daripada rahmat Allah, 


"Katakanlah,  "wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari Rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sungguh Dialah Maha Pengampun, Maha Penyayang." [azZumar : 53]


Dan sangat-sangat beruntung kalau kita mampu bangun di 1/3 malam, memohon ampunan daripada Allah swt, saat orang lain enak dengan lena. Allah swt memang menanti-nanti siapa di antara hamba-Nya yang bermujahadah semata-mata untuk mendapatkan keampunan-Nya.


Rasulullah saw yang maksum dan dijanjikan baginya syurga pun bangun malam hingga bengkak-bengkak kaki baginda. Apatah lagi kita yang belum tentu nasibnya ke mana, banyak pula kesalahannya. Lebih wajib bagi kita untuk bangun. *moga Allah melindungi kita dari azab neraka yang pedih. Allahumma amin*


Seek Allah's forgiveness again, again and again!.. zero give-up!!


dan moga dikurniakan nurani yang suka bertaubat dan gembira untuk membuatkan orang lain bertaubat.. insya-Allah (",)


Wallahu a'lam..


Friday, September 7, 2012

Padah Mengikut


Bismillahi Rabbul 'Ula

'himar' main business..(",) [kredit]

Suatu masa, 2 ekor keldai membawa barang dagangan milik tuannya. Seekor membawa beberapa guni garam seekor lagi membawa beberapa guni kapas.


Ketika dalam perjalanan, ada sebatang sungai yang mengalir merentasi laluan mereka. Juga ada jambatan yang tersedia sebagai kemudahan untuk melaluinya.


Tiba-tiba, keldai yang membawa garam masuk ke dalam sungai, tidak melalui jambatan yang tersedia. Sedikit demi sedikit garam yang membebaninya larut dengan air sungai. Apabila sampainya ia di seberang sungai, garam yang dipikul sudah pun larut semuanya. Dengan penuh gembira ia meneruskan perjalanan.


Keldai yang membawa kapas melihat apa yang berlaku. Perasaannya ingin menjadi seperti keldai yang membawa garam, membuak-buak. Bebas daripada bebanan setelah masuk ke dalam sungai. Tanpa berlengah, terus sahaja ia terjun ke dalam sungai. Harapannya ingin bebas daripada bebanan, walaupun tidak seberat bebanan keldai yang membawa garam.


Kapas yang dibawanya mula meresap air sungai dan memberat. Keldai itu tidak dapat menampungnya lagi. Akhirnya ditenggelami air dan mati kelemasan.

. . .


Kisah ringkas ini adalah perbandingan antara orang Islam dan orang barat, atau Nasrani yang beragama Kristian khususnya.


Keldai yang membawa garam, masuk ke dalam sungai dan bebas daripada bebanan yang berat, ialah orang Nasrani yang meninggalkan agama Kristian. Mengamalkannya sebagai cara hidup seolah-olah menyusahkan diri sendiri. Kerana hakikat agama Kristian sekarang adalah agama yang diseleweng oleh tangan-tangan paderi mereka.


Lain pula bagi keldai yang membawa kapas, terjun ke dalam sungai lalu mati kelemasan. Keldai ini boleh diumpamakan sebagai orang Islam, yang mengikut budaya Nasrani atau barat. Tindakan mereka yang ingin menjadi bebas dengan meninggalkan Islam sebagai cara hidup, dan membuta tuli mengikut budaya orang kafir, menjerumuskan mereka ke dalam lembah kehinaan, serta dinantikan dengan azab yang pedih [na'udzubillah].


Islam adalah satu cara hidup yang paling ideal, mudah dipraktik, sesuai pada setiap zaman dan waktu serta merupakan satu sistem khusus yang diturunkan oleh Pencipta Seluruh Alam kepada manusia. Memilih untuk mengikuti cara hidup selainnya dan meninggalkannya, adalah kesilapan terbesar, yang bakal disesali di akhirat kelak. Wallahu a'lam..


"Pada hari ini Aku (Allah) sempurnakan agamamu untukmu, dan telah aku cukupkan nikmat-Ku bagimu, dan Aku redha islam sebagai agamamu." [Al-Ma idah 5 : 3]

Wallahu a'lam..

himar = keldai

*repost kembali tulisan di blog Integrasi Tarbawi [dr2iman], moga ada yang dapat manfaat darinya, insya-Allah.. (",)*

Thursday, September 6, 2012

Maaf, Lama Senyap..


Bismillahi Rabbul 'Ula..

Berbulan blog dibiar tanpa berisi. Sedangkan masih ada yang sudi bertandang walaupun tak ramai. Maaf saya ucapkan, kerana tak dapat memberi apa-apa sepanjang masa lalu. Wallahu musta'an.

Dahulu sungguh bersemangat waja mencari sesuatu yang best dan osem untuk dikongsi bersama di ruangan blog ni, tapi sekarang sebaliknya yang terjadi. Kosong tanpa isi. Fatrah futur mungkin penyebab utama. Sekali lagi saya pohon maaf. Dunia memang selalu memampat masa sehari-hari, hingga rasa malas menebal. Allahummaghfirli ya Rabb..

Harapnya kekosongan ni tak lama.. insya Allah dengan pertolongan-Nya, blog ni akan kembali bermanfaat untuk diri dan sahabat-sahabat fillah.. pohon doa dari antum.. jazakumullahu kheir (",)  


Saturday, April 14, 2012

Habis Exam (",)

Bismillahi Rabbul 'Ula



Alhamdulillah syukran lillah, dengan izin-Nya dpt mengakhiri ujian akhir untuk dua semester. Moga dengan bermulanya pengajian tahun baru 1433 H nanti dapat dimanfaatkan semaksimum mungkin. ameen ya Allah..

*Harap-harap juga semangat untuk menulis jadi segar balik.. (",)

Tuesday, February 21, 2012

Kawan Kita Yang Berebut Suis

Bismillahi Rabbul 'Ula

Selawat dan salam buat penghulu seluruh nabi dan rasul, Muhammad saw.

Bayangkan sahabat,

Kita mempunyai seorang teman. Di mana sahaja beradanya kita, dia bersama. Setiap masa dan detik, dia cuba untuk memberi kita keseronokan. Menghalang kita daripada bersusah-susah. Kata-kata motivasinya kepada kita,


"relaks lah.. bukan selalu dapat free time "

"tak payah risau, tak de apa² nye.."

"buat je.. tak ada orang nampak pon"


 Pokoknya, dia selalu mengunjurkan kita ke daerah keselesaan atau comfort zone..

dan bayangkan sahabat,

Kita ada seorang teman. Dia pun bersama dengan kita setiap masa. Tapi teman ni lain sikit, tak macam yang mula-mula tadi. Bila kita rasa susah untuk buat sesuatu yang bermanfaat, dia dorong kita supaya kita buat.

Kadang-kadang bila kita rasa nak rileks dan nak enjoy lebih sikit, dia ingatkan kita tentang akibat membuang masa. Kalau kita kena musibah, dia pujuk kita supaya tak menyalahkan sesiapa, bahkan disuruhnya kita untuk muhasabah diri, kalau² musibah tu titik tolaknya dari diri kita. Tutur-tuturnya yang selalu diucapkan,


"orang hebat tak main la kalau lembik-lembik.."

"rasa susah? berjuta lagi orang yang susah dari kau.."

"Allah sayang dekat kau, sebab tu la Dia tegur kau dengan kesusahahan.."


Perkara yang baik yang susah untuk dilakukan, lagi dia suruh kita buat. Aktiviti-aktiviti yang riang dan penuh senang lenang, dia halang kita sedaya mungkin. Melarikan kita daripada berada dalam kesenangan..

Jadi.. ada betul-betul ke 2 jenis sahabat ni??

Yup, memang tepat jawabannya, ada. Dan ianya wujud, serta bersama dengan kita setiap masa.

 Iman dan nafsu.

Mereka berdua tinggal dalam satu jasad bersama kita, tarik menarik untuk mendominasi hati..

Hakikatnya, diri kita atau sinonimnya iman.. yang berlitup dalam jasad sementara pinjaman daripada Al Khaaliq, berhempas pulas menahan serangan nafsu membadai yang berbagai spesiesnya.

Kalau kita kata okey pada nafsu, syaitan tertawa besar melihat kita.. melihat iman menggelupur kepiluan, diinjak nafsu, dan dilumur dengan dosa maksiat yang kita lakukan, dan Allah akan semakin jauh daripada kita *kami memohon perlindungan pada-Mu ya Allah daripada bahana ini*..

Kalau kita kata okey pada iman, beruntunglah kita.. Allah akan sentiasa bersama kita setiap saat dan waktu. Menjaga kita, take care dengan kita, sayang pada kita. Malaikat-malaikat-Nya akan bersama dengan kita. Lindungi kita daripada dikacau syaitan laknatullah.. * kami mohon berada dalam golongan ini ya Rabb.. *

Hm.. kalau macam itulah bahayanya nafsu, macam mana nak halang daripada menguasai diri ? Supaya iman sentiasa mengharmonikan hati?

Seorang murabbi ditanya anak didiknya *kisah benar ni, serius*.


"ustaz, apa kita nak buat kalau kita cinta pada seseorang *kerana paras rupa dan peribadi semata*? walaupun kita tak pernah berbicara dengan dia? Hanya bersua sahaja?,"

"perasaan cinta itu datangnya dari mana?"

"dari hati lah ustaz"

"baik, cinta itu datangnya dari hati.. cinta itu umpama lampu. hati itu umpama suis kepada lampu. Jika cintamu terzahir kerana kamu membuka hati kamu untuk menyukainya, nescaya kamu boleh menutup hati kamu untuk tidak menyukainya. Tutup suis hati, lampu cinta terpadam, dan ianya selesai,"

"tutup suis hati?"

"tutup hati kamu daripada cinta yang lagha dengan zikrullah. Jangan beri peluang kepada cinta yang lagha untuk memenuhi hati. Penuhkan ruangan hatimu dengan ingat kepada Allah, sentiasa menyebut nama-Nya, memohon ampun pada-Nya. Suburkan cinta Allah di hatimu dengan kalam-kalam suci-Nya..

Apabila hati disibukkan dengan mengingati Allah, secara sendirinya ia akan memenuhi ruangan hati dan menyingkir perasaan cinta yang didorong nafsu itu.."


Penuh hikmah sang murabbi menjawab persoalan anak didiknya yang berdarah muda. Jawapan yang diberi ringkas dan padat.

All-out dalam mengekang hati daripada dikuasai nafsu. Kerana terburu-buru mengikut nafsu antara sifat yang memusnahkan fitrah seseorang manusia. Ya, sangat memusnahkan.

Ini dia kronologi kerjasama nafsu dan syaitan nak tawan hati,

Syaitan bisik pada nafsu > >

> > nafsu berusaha menggerakkan kita untuk melakukan apa yang disarankan syaitan > >

> > kita membuat pilihan > >

> > jika pilihan kita untuk menurut nafsu, terjerumuslah kita dalam perangkap syaitan..

 jika kita memilih untuk tidak, alhamdulillah..

dan selagi itulah syaitan dan nafsu akan bersekongkol sedaya mereka supaya kita memilih untuk ya..

*gambaran rengkas secara kasar.. *

"kerana sesungguhnya nafsu itu selalu mendorong kepada kejahatan" [Yusuf : 53]

Mohonlah perlindungan Allah swt daripada syaitan [ antaranya lafaz isti'azah ]. Syaitan booster kepada nafsu. Nafsu yang drive kita untuk melakukan kemungkaran dan dosa. Tak kira jenis kecil ke besar ke, yang penting maksiat disisi Allah swt.

"dan jika syaitan mengganggumu dengan satu godaan, maka MOHONLAH PERLINDUNGAN kepada Allah" [Fussilat : 36]

Kalau syaitan tak boleh mendekati kita, maka nafsu pun jadi useless *sesen pun tak ada guna!*. Hilang kudrat upaya nak menjahanamkan iman kita. Bergumbiralah jiwa beserta iman dan kemanisannya.

"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa apabila mereka dibayang-bayangi fikiran jahat (berbuat dosa) dari syaitan, mereka pun segera ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat (kesalahan-kesalahannya)" [al-A'raaf : 200]

Nafsu tu suisnya ada di hati kita. "Off"kan hati kita kepada nafsu dengan

zikrullah,
ingat mati,
bertilawah + menghayati ayat-ayat alQuran,
meneliti keagungan ciptaan Allah swt *tadabbur alam*

Kita tak ada apa-apa melainkan pilihan, Sama ada dipandu

 IMAN atau NAFSU.

Pilihan di tangan kita..

 *saya yang paling takut merasakan. Kerana Allah sangat murka kepada orang yang berkata-kata tapi tidak melakukannya. Moga kita semua dilindungi-Nya daripada golongan itu. Ameen.*

Wallahu a'lam.

Thursday, January 26, 2012

Syering Orang Kata

Bismillahi rabbul 'Ula

Terasa macam kata-kata ni baik untuk muhasabah. Dengan rendah dirinya, saya kongsikan madah madah ni. Walaupun rengkas dan biasa. Tapi tersangat okey untuk muhasabah diri...

INSAFLAH SEBELUM TERLAMBAT:

Tidur malam selalulah lewat,
Bangun pagi pun jawabnya lewat,
Solat subuh sekadar jelah buat,
Nak buat macamana waktu pun dah lewat.

Sambung tidur lepas subuh itulah rutin harian,
Sampai kelas pun selalu tergadai tanpa rasa bersalah dan segan,
Bila call mak ayah cakap sangatla bagus dan beradab,
Bila ditanya kelas pergi ke tak entah apa-apa dijawab.

Game, movie, drama jadi hobi harian,
Hatta solat fardhu selalu terlewat,
Bila dinasihat melentingnya cepat,
Beginikah sikap pemuda @ pemudi Islam yang kita harapkan???

Insaflah sahabat-sahabatku sekalian sebelum terlambat,
Ajal maut dan segala semua di tangan Tuhan,
Bila ia datang tidak pula dipercepat mahupun dilambat,
Semoga kita menjadi insan yang berguna dan diredhai Tuhan...

Nasihat buat y terutama pada mata y mlht ini,tgn y mnaip ini dan untuk semua. 



*jadi, sebagai kredit untuk orang yang share ni, jom doa untuknya + doa antara satu sama lain.. supaya dapat menjadi hamba Allah yang TEGAR berserah..huhu. insya Allah.

baarakAllahu fiikum.. ('',)

Sunday, January 8, 2012

Muslim Ori

Bismillahi Rabbul 'Ula



"Muslim yang ORI, hari ini lebih baik dari semalam, esok lebih baik dari hari ini", [adaptasi kata hikmah]

Terkedu juga rasanya bila kata-kata ni mula mengiang di telinga.

Ori = Original = Asli

Jika saban hari, saban minggu dan bulan adalah same same *bak kata orang arab yang mencuba untuk speaking*, jadi yang sekarang ni muslim apa? Takkan muslim ciplak kot? *(-_-") cuak*

"Ya Allah, bantulah aku untuk dapat mengingati-Mu, mensyukuri-Mu, dan beribadat dengan baik kepada-Mu."

Mungkin frasa "hari ini lebih baik dari semalam", terlalu umum untuk difahami. Boleh jadi pelajaran kita. Boleh jadi kesihatan kita. Boleh jadi ibadah kepada Allah swt. Semuanya pun bagus untuk menjadi lebih baik setiap hari.

Okey, mari kita fokus kepada maksud sabda baginda saw,
"Sesungguhnya aku diutus hanya untuk menyempurnakan budi pekerti luhur (akhlak mulia)"

Dalam hadis yang mulia ni, baginda saw highlight tentang kesimpulan beliau diutus. Membina tingkah laku baik. Akhlak mulia. Imam al-Ghazali rahimahullah menyatakan satu kesimpulan yang sangat menarik tentang kita sebagai muslim, berdasarkan hadis tersebut,

"Solat, puasa, zakat, ibadah haji, dan ajaran² islam lainnya yang mengandungi pendidikan ketaatan seperti itu, adalah tahap-tahap kesempurnaan yang amat didambakan,


dan juga merupakan cara pensucian jiwa yang dapat menjaga kehidupan dan meninggikan kedudukannya (muslim).


Berdasarkan sifat-sifat mulia yang tercakup dan tumbuh dari bentuk-bentuk ibadah tersebut, maka budi pekerti menempati kedudukan tinggi dalam agama Allah"

*Maaf, pindaan terus dari buku terjemahan. Mungkin sedikit sukar untuk faham*

Semua ibadah yang dituntut dalam islam, segala bentuk ubudiyyah [penyerahan] kita kepada Allah swt daripada sekecil-kecil perkara kepada sebesar-besar perkara. Paksinya hanya SATU. Membersih jiwa, menjernih akhlak a.k.a menjadi orang beradab. Lillahi ta'aala.

Satu contoh ringkas, solat.

"Sesungguhnya solat itu mencegah daripada (perbuatan) keji dan mungkar" al-Ankabut : 29 : 45

Satu riwayat memaksudkan, salah seorang sahabat ra mengetahui bahawa seorang lelaki mempunyai tabiat mencuri. Lalu dia mengadu kepada baginda saw. Rasulullah bertanya kembali kepada sahabat ra,

"adakah lelaki itu mendirikan solat"


"ya"


"maka dengan solatnya, akan mencegah perbuatan mencurinya"

Dengan izin Allah swt, lelaki itu kemudian MENINGGALKAN amalan mencurinya.

Solat yang kita pandang biasa biasa boleh mencegah seseorang meninggalkan perbuatan mencuri. Di mana mencuri tu salah satu daripada sebab GUGURnya iman seseorang,

"..tidak mencuri seseorang pencuri, ketika dia mencuri dia dalam keadaan beriman" [maksud sabda saw]

Secara mudahnya,

solat = pencegah kepada segala kemungkaran


dirikan solat + khusyuk = kemungkaran dicegah, akhlak terbina *insya-Allah*


tak dirikan solat = selamat tinggal.. tak dirikan solat sendiri adalah kemungkaran!

Yang tersebut, mungkin sekelumit daripada bermacam hikmah solat. Belum lagi hikmah² daripada ibadah² lain. Khusus atau tidak khusus.

Bersedekah umpamanya, boleh mencegah penyakit hati mahu pun penyakit jasadi.

Paling penting, akhlak yang terpuji memerlukan mujahadah yang tinggi untuk mencapainya. Bukan semudah membutir kata-kata yang "Wow", tapi tiada langkah untuk bermula..

Seungkap kata kata yang memberi motivasi pada kita yang selalu lemah² ni,

"Barang siapa yang memulakan langkahnya, tidak akan ketinggalan"

Wallahu a'lam.

Tuesday, January 3, 2012

Satu Dua Kata

Bismillahi Rabbul 'Ula..




Alhamdulillah. Allah masih lagi beri peluang untuk bernyawa menyedut udara dengan penuh nikmat. Alhamdulillah Alhamdulillah segala pujian hanya milik Allah.

Sekelip mata. Setahun meninggalkan. Tahun ini dimulai dengan muhasabah. Ianya satu pengalaman menyayat hati. Sedar betapa kejauhannya diri daripada kejernihan dalam pengabdian kepada alKhaaliq. Hanya kerana doa daripada sahabat², diri bernasib baik. Jika amal sendiri yang diharapkan. Hanya Allah yang tahu betapa kurangnya ia. Allahummaghfirlana jamii'an ya Rabb.

Satu harapan yang pernah saya kongsikan masa lalu, 



Tahun lalu,
di akhiri dengan timbunan infiniti kenangan,
yang lumrahnya manis dan pahit,
takkan dapat ditatap kembali walaupun seketika,
juga terisi dalamnya pengalaman dan pengajaran,
yang bisa nilainya melampaui emas dan permata,

Harapan ini,
cukuplah jahiliyyah yang selama ini mencalit,
cukuplah lagha yang selama ini menghimpit,
cukuplah kepudaran berukhuwwah yang selama ini menyempit,
harapan ini ingin bebas daripada benaman-benaman itu dengan nafas hammasah yang baru,

Tahun ini yang mendatang,
lembaran baru, muka baru mesti dibuka,
mengakhiri helaian lama yang dipenuhi dakwat-dakwat pekat maksiat dan dosa,
Alhamdulillah, syukur kerana masih diberi peluang untuk menghela lagi milik-Nya,
demi menunaikan amanah hamba dan khalifah sebaiknya,
tujuan utama di bangkitkan di dunia fana,
Doaku,
moga Allah mengampuni seluruh dosa diri, ibu bapa dan keluarga,
serta sahabat-sahabat yang disayangi dan seluruh muslimin yang dicinta,
dan menghadiahkan rahmat-Nya yang tidak dibatasi umur dan masa,

Doaku,
moga tahun ini bakal menjadi sejarah terhebat yang pernah diukir sepanjang hidup,
hebatnya ia disisi Allah dan rasul-Nya,

Doaku, 
ingin menyaksikan lebih ramai manusia yang menghajati rahmat dan hidayah-Nya,
dengan mewarisi amanat agung para anbiya' dan rasul-Nya,

Doaku,
moga diri ini dan seperjuangan semuanya terus dikukuhkan kaki sekukuh-kukuhnya,
untuk menghayati roh dakwah dan tarbiyah yang suci,
dalam praktikal sebagai manusia yang dimuliakan kerana Islam,
dan kukuhnya ia seperti gunung-gunung memasak bumi,
takkan goyah walaupun digegar ribut dan taufan,

Doaku,
pada setiap yang sudi membaca nukilan fakir ini,
moga Allah menyayangimu seperti mana Dia menyayangi lima 'Ulul azmi-Nya,
dan dilimpahkan nur hidayah-Nya pada segenap dirimu dan keluargamu,
dan jika sesuatu kebenaran terzahir, 
Allah mengurniakan padamu rezeki untuk mengikutinya,
dan jika sesuatu kebatilan terzahir,
Allah mengurniakan padamu rezeki untuk menjauhinya,
dan moga taqwa menjadi pakaianmu, 
akhlak mulia dan mahmudah menjadi perhiasanmu,
kalam Allah dan sabda baginda saw menjadi madah bicaramu,
serta dijauhkan sejauh-jauhnya daripada umpat dan keji dalam tutur katamu,
dan moga Allah swt memenuhi setiap hajatmu,
dan akhir usiamu dalam iman dan islam,
dengan izin-Nya insya Allah..

"Ya Allah, kurniakan pada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan jauhkanlah kami dari azab neraka-Mu"  amin..


Sekadar cebisan luahan hati yang diperhangatkan semula pada tahun ini.. Sedihnya rasa, tidak mampu menukil bait² pemotivasi hati yang kian kering.

Sepanjang tahun lalu, semangat yang berkobar², mengecil pula nyala semangatnya. Saya hanya mampu berdoa moga Allah menguatkan diri, dan seluruh komrad juang untuk saling mendoakan sama lain. Itu senjata ampuh untuk terus menapak.

pengalaman perit,

Menjadi muslim yang tak produktif memang menyakitkan. Lagaknya diri bila dihadapan teman sehati sejiwa, seolah tiada apa, semua baik-baik belaka. Padahal di kebuk hati, selirat dan gumpalan tali-tali nikmat-Nya yang tidak dipautkan dengan Allah menyesak dada..

Monolog untuk terus kuat berjuang selalu dilafaz. Tapi lafaz tinggal lafaz. Intipati perjuangan tidak dijaga sebaiknya. Bangun malam, solat subuh jamaah, zikrullah, tilawah. Isi muka bagaikan luruh apabila sahabat-sahabat membicarakan tentangnya.

Berkongsi dengan penuh semangat tentang semangat juang para sahabat dan tabi'in bila Islam menyinari hidup mereka. Bila pulang, semangat2 itu seolah tidak pernah menampakkan kesan nyalaannya pada diri.

* * *

Itu antara perkara² yang realitinya sangat sangat pahit. Moga dengan bantuan daripada Allah swt, ianya dapat dikurangkan, seterusnya menjadi sejarah.

Syukur juga tak terhingga kerana berpeluang mengakhiri detik² akhir tahun dengan lafaz ikrar untuk berubah. [Himpunan 1000 Jiwa 1 Hati] Harap ianya satu kenyataan yang bakal berlaku. Insya Allah. Allahumma ameen..

Thursday, April 28, 2011

Bernilai = berbayar, Tak Ternilai = free of charge?

Maha Suci Allah swt yang Maha Agung lagi Maha Kaya. Segala yang ada di bumi dan langit beserta seluruh isinya adalah milik-Nya.


Mari sejenak kita berfikir kos untuk hidup di dunia yang sementara ni. Duit untuk makan, duit sewa rumah, duit buku, yuran pengajian, duit minyak kereta, bil air, bil elektrik, duit belanja anak-anak, dan macam-macam lagi duit dan bil yang perlu dilunaskan apabila cukup bulan.


Memikirkannya sahaja sudah cukup untuk menyerabutkan neuron-neuron dalam otak, membuatkan kita mengeluh, belum lagi memerah kudrat untuk melunaskannya.


: : bil daripada Allah? : :


Setiap benda dalam dunia berbayar. Hatta nak menunaikan hajat pun ada cajnya di tandas awam. Bagaimana pula dengan nikmat Allah yang tak terhitung? seperti udara yang segar, air sungai yang mengalir dingin,anggota badan yang sihat, pancaindera, alam sekitar, keluarga, masyarakat, keamanan dan sebagainya. Maksud firman Allah swt sebagai peringatan kepada manusia,
"Dan sekiranya engkau menghitung nikmat-nikmat Allah, (pasti) ia takkan terhitung."
[ Ibrahim : 34 ]
Cuba kecilkan skop semua nikmat yang Allah kurniakan, kepada nikmat udara sahaja. Bumi adalah tempat yang paling sesuai untuk dihuni manusia berbanding planet lain di dalam cakerawala yang sangat besar ini. Hanya di bumi terdapat komposisi gas yang sesuai bagi manusia, gabungan nitrogen, oksigen dan selebihnya merangkumi karbon dioksida, gas nadir serta wap air.


Bayangkan, Allah swt keluarkan bil oksigen yang kita hirup sejak lahir hingga sekarang. Kadar oksigen untuk setiap kali bernafas ialah RM 1. Kajian menunjukkan, manusia dewasa bernafas sebanyak 18,000 hingga 30,000 kali sehari. Katakan secara purata 20,000 kali sehari, ini bermakna dalam tempoh hayat 21 tahun, seseorang sudah bernafas sebanyak 21 X 365 X 20,000 = 153,300,00 kali. Bersamaan dengan nilai bil yang perlu dibayar, ialah sebanyak RM 153 juta! [ hanya anggaran, semestinya nilai sebenar adalah tidak ternilai ]


: : syukur = bill payment! : :


Jika wang ringgit merupakan medium untuk melangsaikan bil dan bayaran kita sesama manusia, maka syukur adalah medium untuk membayar kembali nikmat kurniaan Allah kepada kita. Maksud firman Allah swt,


"Makanlah olehmu rezeki yang (dianugerahkan) Tuhanmu dan bersyukurlah kepada-Nya."

[ Saba' : 15 ]


Pernah suatu ketika dahulu, orang ramai merasakan sukar untuk mendefinisikan erti sebenar syukur secara tepat. Lalu seorang tabi'in yang bernama al-Junadah mengatakan,


"Syukur itu tidak menggunakan nikmat kurniaan Allah swt untuk melakukan maksiat pada-Nya"


Selain itu, memperbanyak ucapan alhamdulillah [ Segala Puji Pada Allah ] dan menggunakan nikmat yang terdapat pada diri untuk membantu sesama manusia dan makhluk juga cara terbaik untuk bersyukur.


Bersyukur dengan nikmat yang nampak sedikit dan kecil. Sekiranya tidak mampu untuk bersyukur dengan nikmat yang sedikit, bagaimana mahu bersyukur dengan nikmat yang lebih besar dan banyak.


Di dunia ini, kita membayar untuk mendapat sesuatu kemudahan. Tapi nikmat Allah yang tak terhingga itu datangnya secara percuma, tanpa perlu dibayar. Hanya syukur pada-Nya yang perlu dipanjatkan seikhlasnya..


wallahu a'lam..


[adaptasi daripada buku "Online dengan Tuhan" karangan Zulkifli Khair terbitan PTS]

Thursday, March 31, 2011

Bukan ITU, tapi ATAS..





Ulang kaji semula pemahaman hadis rukun islam..

......................................................................................................

Dalam sebuah empayar yang luas jajahannya dan besar kuasanya, terdapat 2 orang kontraktor. Mereka diberi tugasan untuk menyiapkan sebuah binaan yang melambangkan keagungan empayar mereka dalam tempoh yang ditetapkan oleh pemerintah tertinggi. Siapa yang terbaik binaannya berhasil mendapat ganjaran terbaik.

Masing-masing mula bekerja. Setelah beberapa bulan, binaan mereka selesai dan siap untuk diperiksa. Pemerintah mula memeriksa. Kontraktor pertama membina sebuah bangunan yang cantik tersergam, menepati ciri-ciri yang diingini. Kontraktor kedua menyiapkan 5 lapis batu asas yang sangat kukuh dan kemas, dengan tambahan cat pelbagai warna, tapi di atasnya kosong. Langsung tidak ada dinding atau bumbung. Si pemerintah berkata,

"Batu asas yang kamu bina ini sangat kuat dan cantik, tapi mana pergi bangunan di atasnya?"

Kontraktor pun menjawab dengan yakin, "Bagi saya, membina batu asas yang begitu kuat lagi indah inilah lambang kehebatan empayar kita.."

Tamat pemeriksaan, pemerintah itu memberi yang setimpal atas apa yang diusahakan. Sagu hati kepada kontraktor kedua yang membina batu asas itu sebagai menghargai penat lelahnya membina batu asas yang sangat kukuh, dan menghadiahkan ganjaran terbaik kepada kontraktor pertama, di mana bangunannya melambangkan keagungan empayar.

_t_a_m_a_t___a_n_a_l_o_g_i_

empayar hebat = Islam
pemerintah = Allah
kontraktor 1 = muslim yg islamnya syumul merangkumi seluruh hidup
kontraktor 2 = muslim yg hanya menunaikan 5 rukun islam sahaja.


Gambaran contoh di atas menyamai orang islam yang mengatakan,

"Aku dah mengucap syahadah, solat, puasa, zakat dan buat haji, cukup la tu sebagai seorang Islam.."
Islam itu lima rukun dan lima rukun itu Islam, cukup dengan mengamalkan 5 asas Islam yang utama adalah memadai sebagai seorang muslim, adalah tanggapan yang dibauri salah faham. Satu sabda rasul saw yang cukup dikenali,

Abu Abdurrahman Abdullah bin Umar bin Khattab ra berkata, "Aku pernah mendengar Rasulullah saw bersabda,

"Islam didirikan atas lima (rukun), penyaksian bahawa tiada tuhan melainkan Allah, dan Muhammad pesuruh Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, melaksanakan ibadah haji dan berpuasa Ramadhan"

[ hadis riwayat Bukhari dan Muslim ]

rukun = tapak = batu asas

Penelitian kepada maksud hadis di atas, iaitu pada awal lafaz sabda Rasulullah saw "Islam DIDIRIKAN ATAS lima..", bukan "islam ITU lima..". Mengucap dua kalimah syahadah, solat, zakat, puasa Ramadhan dan haji hanyalah batu asas dalam agama Allah. Terbinanya di atas asas tersebut ialah bangunan Islam yang merangkumi keseluruhan hidup. Akhlak mulia, taat ibu bapa, menutup aurat, ukhuwwah islamiyyah, dakwah, dan jihad sebagai puncak tertinggi dalam binaan Islam, sebagai contoh.
Praktikal sebagai muslim memerlukan pemahaman segenap erti mengapa Islam diutuskan menyeluruhi kehidupan manusia, tanpa tertinggal satu aspek pun, termasuk sekecil-kecil perkara.

 Masa-masa yang berlalu adalah petanda menghampiri kiamat kecil sebelum kiamat besar bagi muslim, iaitu mati. Maksud hikmah daripada Imam Hassan al-Banna,

"Kewajiban lebih banyak daripada masa yang ada"

Dalam menghadapi waktu kita yang semakin singkat, pendek dan tidak akan diulang, wajarkah kita sekadar membina batu asas Islam sahaja?

Andai kata kita berpeluang menyertai pertandingan melukis dalam masa yang ditetapkan, adakah kita hanya mengharapkan sagu hati? ataupun ingin menjuarai pertandingan sebagai johan? Fitrah kita akan mengatakan tidak kepada sagu hati, bahkan ingin mendapat tempat pertama dan akan membuat yang terbaik untuk menjadikannya realiti.

Hidup ini, ianya perlumbaan untuk mempertingkat dan memperbanyak amalan kerana Allah swt dalam masa yang terhad, sebelum maut menjemput. Maksud firman Allah swt,

" Kemudian Kitab (alQuran) itu kami wariskan kepada yang terpilih di antara hamba-hamba Kami, lalu di antara mereka ada yang menzalimi diri sendiri, ada yang pertengahan dan ada (pula) yang lebih dahulu [berlumba] berbuat kebaikan* dengan izin Allah. Yang demikian itu adalah kurnia yang besar" [ Faatir 35 : 32 ]

*3 golongan manusia di dalam perlumbaan hidup :

1/"menzalimi diri sendiri" ialah orang yang lebih banyak kesalahannya daripada kebaikannya,

2/"pertengahan" ialah orang yang sama kebaikannya dengan kesalahannya,

3/"orang yang lebih dahulu berbuat kebaikan" ialah orang-orang yang kebaikannya sangat banyak dan sangat jarang berbuat kesalahan.

Pilihan di tangan kita untuk menjadi orang yang biasa-biasa, atau orang yang luar biasa yang sentiasa menjuarai dalam mempersembah amalan kepada-Nya.

Maksud kata-kata Ibnu Taimiyyah tentang pengertian ibadah,

"Satu nama yang merangkumi setiap perkara yang disukai Allah dan diredhai-Nya, dari segi perbuatan dan perkataan"

Jadi, cantikkan bangunan Islam kita dengan praktikal yang menyeluruh dalam setiap perkara sebagai ibadah, dan tidak mensia-siakan apa yang dilakukan tanpa niat yang ikhlas kerana Allah..

wallahu a'lam..

Friday, February 25, 2011

Catatan Ringkas Krisis Yaman

muzaharah menuntut keadilan..

Kini sebulan berlalu sejak revolusi Tunisia dan Mesir. Satu persatu negara arab timur tengah terkesan dengan perubahan 2 negara itu, kebangkitan rakyat menjatuhkan rejim yang zalim. Libya, Bahrain, Algeria, Jordan dan Maghribi antaranya. Begitu juga Yaman, rakyatnya turut serta dengan revolusi Timur Tengah.

Tunjuk perasaan daripada rakyat Yaman saban hari diadakan, tengah hari dan malam. Gerakan anti-kerajaan dan pro-kerajaan saling menarik situasi. Antara slogan yang kerap dilaungkan oleh anti-kerajaan sewaktu demo,
"rakyat mahukan kejatuhan rejim!"

"berambus Ali! dari bumi kami!"
2 gerakan, anti-kerajaan dan pro-kerajaan saling menarik situasi. Beberapa daerah telah berlaku pertumpahan darah yang mencatat angka kematian melebihi belasan orang, sejak mulanya tunjuk perasaan.
Walaupun pergolakan tidak sehebat Libya, yang angka kematiannya mencecah 2000 orang, kekhuatiran tetap ada di negara yang bebas senjata ini, sebarang kemungkinan boleh terjadi.
..ringkasan peristiwa di ibu negara..
Di Sana'a [ibu negara], kawasan strategik untuk berdemonstrasi diambil alih oleh penyokong kerajaan presiden Ali Abdullah Saleh. Antaranya Maidan Tahrir dan lapangan besar berdekatan dengan masjid Rais [masjid Presiden, terbesar dan termewah di Yaman]. Khemah2 dibina. Mereka juga dibekalkan dengan daun Qat, comforter, dan cota untuk menyuraikan pembangkang yang cuba berdemonstrasi [di Maidan Tahrir].

Oleh itu, perhimpunan anti-kerajaan beralih tumpuan dan diadakan di bandar Dairy, di hadapan Sana'a University. Juga tidak ketinggalan perhimpunan daripada penyokong kerajaan, yang diupah keluar untuk menunjuk perasaan dengan ongkos tertentu.

Beberapa hari lepas, berkesempatan untuk keluar ke bandar Dairy mendapatkan bekalan kecemasan. Jalan-jalan dipenuhi orang ramai. Jalan utama di hadapan Sana'a University di kawal rapi oleh anti-kerajaan yang sedang berdemonstrasi. Pemeriksaan dilakukan kepada setiap orang yang ingin melalui jalan itu, kami juga tidak terlepas untuk diperiksa. Sebab utama pemeriksaan diadakan untuk mencegah kemasukan pro-kerajaan yang membawa senjata. Pernah berlaku penyokong kerajaan menyusup masuk ke dalam demonstrasi anti-kerajaan dan melepas tembakan, selain terdapat polis yang menembak mesingan ke udara. Dan pada bahagian lain, penyokong kerajaan juga terlibat dalam tunjuk perasaan.
Sahabat yang lain ada menceritakan pengalaman mereka sewaktu pergi ke bandar Dairy, melihat kereta milik pro-kerajaan dibakar, kerana membawa senjata api ke kawasan demonstrasi anti-kerajaan. Juga ada solat jenazah yang dilakukan di atas jalan berturap. Pertempuran ringan seperti saling melontar batu antara pro dan anti adalah antara yang disaksikan.
..pesan kedutaan Malaysia..

Minggu lalu, terdapat perjumpaan rakyat Malaysia dengan wakil kedutaan Malaysia bertempat di rumah persatuan pelajar Malaysia.
Pesan dan garis panduan duta kepada rakyat Malaysia yang berada di Yaman :
- Jaga keselamatan, jauhkan diri daripada demo2 yang berlangsung.
-Daftar nama dengan persatuan Malaysia, untuk memudahkan perhubungan dengan keluarga kalau ada apa2 yang berlaku.
-Kalau ada apa2 yang berlaku, rakyat Yalaysia di Yaman akan berkumpul di rumah2 wakil2 kedutaan Malaysia.
-Buat masa sekarang, cukupkan bekalan asasi. Antaranya air minum, beras, minyak masak, gas, tepung, dan lain2 untuk tempoh tertentu.

-Untuk masa sekarang, keadaan di Yaman masih terkawal. Demo banyak berlaku di tempat lain. Jauh daripada tempat tinggal student. [setakat ini]
-Jika ada duit dalam bank, keluarkan. Siap sedia untuk sebarang kemungkinan.

-Semua dokumen penting mesti disimpan rapi, seperti pasport, kad pengenalan.

-Tidak menyusahkan dan merisaukan keluarga dengan khabar2 yang kurang pasti.

-Jika keadaan darurat dan memaksa untuk pulang ke tanah air, evakuasi seperti di Mesir akan dilaksanakan.


* moga segala kesulitan dirungkaikan secepat mungkin dengan izin-Nya, dan tidak berpanjangan.. wAllahu a'lam.

Sunday, January 2, 2011

Madah Pembuka Tirai





Tahun lalu,
di akhiri dengan timbunan infiniti kenangan,
yang lumrahnya manis dan pahit,
takkan dapat ditatap kembali walaupun seketika,
juga terisi dalamnya pengalaman dan pengajaran,
yang bisa nilainya melampaui emas dan permata,

Harapan ini,
cukuplah jahiliyyah yang selama ini mencalit,
cukuplah lagha yang selama ini menghimpit,
cukuplah kepudaran berukhuwwah yang selama ini menyempit,
harapan ini ingin bebas daripada benaman-benaman itu dengan nafas hammasah yang baru,

Tahun ini yang mendatang,
lembaran baru, muka baru mesti dibuka,
mengakhiri helaian lama yang dipenuhi dakwat-dakwat pekat maksiat dan dosa,
Alhamdulillah, syukur kerana masih diberi peluang untuk menghela lagi milik-Nya,
demi menunaikan amanah hamba dan khalifah sebaiknya,
tujuan utama di bangkitkan di dunia fana,

Doaku,
moga Allah mengampuni seluruh dosa diri, ibu bapa dan keluarga,
serta sahabat-sahabat yang disayangi dan seluruh muslimin yang dicinta,
dan menghadiahkan rahmat-Nya yang tidak dibatasi umur dan masa,

Doaku,
moga tahun ini bakal menjadi sejarah terhebat yang pernah diukir sepanjang hidup,
hebatnya ia disisi Allah dan rasul-Nya,

Doaku, 
ingin menyaksikan lebih ramai manusia yang menghajati rahmat dan hidayah-Nya,
dengan mewarisi amanat agung para anbiya' dan rasul-Nya,

Doaku,
moga diri ini dan seperjuangan semuanya terus dikukuhkan kaki sekukuh-kukuhnya,
untuk menghayati roh dakwah dan tarbiyah yang suci,
dalam praktikal sebagai manusia yang dimuliakan kerana Islam,
dan kukuhnya ia seperti gunung-gunung memasak bumi,
takkan goyah walaupun digegar ribut dan taufan,

Doaku,
pada setiap yang sudi membaca nukilan fakir ini,
moga Allah menyayangimu seperti mana Dia menyayangi lima 'Ulul azmi-Nya,
dan dilimpahkan nur hidayah-Nya pada segenap dirimu dan keluargamu,
dan jika sesuatu kebenaran terzahir, 
Allah mengurniakan padamu rezeki untuk mengikutinya,
dan jika sesuatu kebatilan terzahir,
Allah mengurniakan padamu rezeki untuk menjauhinya,
dan moga taqwa menjadi pakaianmu, 
akhlak mulia dan mahmudah menjadi perhiasanmu,
kalam Allah dan sabda baginda saw menjadi madah bicaramu,
serta dijauhkan sejauh-jauhnya daripada umpat dan keji dalam tutur katamu,
dan moga Allah swt memenuhi setiap hajatmu,
dan akhir usiamu dalam iman dan islam,
dengan izin-Nya insya Allah..

"Ya Allah, kurniakan pada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan jauhkanlah kami dari azab neraka-Mu"  amin..

Sunday, December 26, 2010

Apabila Ibu Tercinta Berkongsi..

PERJALANAN HIDUPKU DAN IKTIBAR

Aku dilahirkan di kampung Pandan (masa tu banyak daun Pandan) masa kecil hdpku sngt sederhana,di rmh setinggan dimana masyarakatnya agak miskin tp kaya budi bahasa.Aku brsama abg long dan kakakku yg ku panggil kak ngah seronok menjalani kehidupan yg begitu naif, mndpt sepenuh kasih sayang daripada mak dan abah, aku tinggal berhampiran dengan lombong (masa tu lombong bijih x dikambus lagi) mandi kat lombong, biasa makan ikan yang dipancing kat lombong, ikan Talapia arwah mak masak goreng bercili 'best' sangat masa tu abah ajar semua ank2nya berenang (sprt apa yg rasulullah s.a.w. pesan) memang seronok sangat dunia kanak2.  Kami berenang, menyelam, naik rakit abg long buat. Masa tu kami tak tahu takut. Bila ada seorang budak jatuh lombong dan meninggal dunia, hampir sebulan x main kat lombong!!! lucu sngt, kami kenal hampir seluruh jiran2 serta ank2 mereka menjadi kawan2 sepermainan. Masuk rumah jiran tu macam naik rumah sendiri. Ingat lagi makcik Timah, m.cik Som (mrk skrng dah arwah,moga ruh mrk dicucuri rahmat) makcik Biah (kawan baik arwah mak) dan ramai lagi.

Kalau kami nak main anak patung, pondok2, kutip tanah liat lombong buat 'kuih' kutip anak patung yang dah tak ada sebelah mata, masih ingat lagi aku kutip tudung tin milo, dan apa yang boleh dijadikan mainan di rumah kami x ada televisyen, kalau nak tengok cerita (robot) macam cerita ultraman sekarang kene pergi rumah jiran. Aku, bang long, kak ngah abah benarkan bermain sampai petang sebelum maghrib dah masuk rumah, kami sangat takut dengan abah yang agak garang, tapi penyayang, kalau abah panggil sekali''Ari...Aros..Atun !!'' mencicit kami lari balik. x pernah kami kalau abah panggil sekali x datang (rotan banyak kat rumah), berbeza dengan mak panggil, lambat-lambat sikit.

Hari2 pergi ke skolah b'jln kaki hmpir 2km antara aktiviti harian kami, mengaji Alqur'an di rumah guru  yang kami panggil 'atuk' lebai Nordin (skrg arwah moga rohnye dicucuri rahmat dengan ilmu nya) dengan atuk Nordin aku bang long ,kak ngah mengenal huruf2 alqur'aan, rotan kat tempat mengaji plbagai jenis dari tebal sampai ke nipis ada llima, enam batang ada yang hampir hancur kene kat belakang anak murid, kalau tak baca dengan bertajwid. Atuk memang strict  tak boleh langgar hukum tajwid panjang pendek,dengung. Atuk membimbing kami membaca alQur'an sehingga aku dan kak ngah sering masuk musabaqah alqura'an dan selalu mendapat tempat pertama, kedua atau ketiga (Allahummaghfirli bukan nak bangga diri) aku sangat bersyukur dan bangga dengan abah dan mak yang mendidik kami walaupun mereka tak dapat tarbiah seperti mane aku dapat, menghantar kami ke sekolah agama hingga kami dewasa dengan pendidikkan agama yang sempurna.

Moga anak2ku menjadi yang lebih baik dariku, mengenal dakwah sejak dari kecil lagi hingga sekarang, mereka sering ku bawa di dalam usrah dan program2..alhamdulillah sampai hari ni anakku2 Ubadah, Rifaah penyejuk mata umi dan abi (skrng kat Yaman) kakak mawaddah (baru lps SPM,doakn b 'jaya dgn cemrlang), Maimanah, Munibah, dan akhir sekali Ahmad Junadah. Cara mendidik anak2 sekarang lebih mencabar berbanding zaman aku kecil dahulu yang tidak ada tv, internet, handphone dan bermcam2 lagi alat2 telekomunikasi, kita tidak boleh menghalang anak2 kita untuk mengikut arus dunia siber yang semakin mencabar ini, tetapi perlulah ada benteng yang kukuh sebagai perisai untuk membataskan setiap perkara yang baik dan yang buruk (kita tidak mahu anak2 kita baik di depan kita atau orang lain tetapi bila  mereka SENDIRIAN melakukan perkara2 yang bertentangan dengan syari'at contoh lihat sesuatu yang tidak baik PORNO(lucah), LAMAN2 YANG TAK MENDATANGKAN FAEDAH kadang2 menyelewengkan Aqidah dilarang oleh agama) sekiranya tiada pengawasan daripada ibu dan ayah nescaya rosaklah anak itu.

Oleh itu, cara berkesan untuk mengawal mereka ialah tanamkan aqidah kecintaan mereka terhadp Allah, Rasul dan nabi2, cintakan alqur'an menghafal, tadabbur, mengamalkannya, menjaga dan mengetahui siapa kawan2 mereka supaya mereka tidak terpengaruh dengan kawan2 yang rosak akhlak, rasa yang mendalam cintakan agama, menjaga akhlak, adab juga sopan santun yang telah semakin pupus dalam masyarakat kita, alangkah sedihnya!!!!! sangat besar tanggungjawab kita untuk kembali memulihkan keadaan yang diselaputi rukkammuljahiliyyah kata2 assyahid sayyid Qutb ''timbunan jahilliyyah bercampur baur kelirunya, masyarakat Islam, tentang aqidah'' keyakinan bahawa 'Islam is the way of life' dari segi kepercayaan, akhlak ibadat, muamalat, politik, dan sejarah yang terkandung dalam alqur'an dan sunnah rasul-Nya untuk menyelesaikan masalah umat Islam kembali kepada aset fitrah yang mampu mengubah manusia, melalui usaha dan tenaga bagi mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya serta mencontohi generasi pertama Islam yang dilalui oleh manhaj ilahi.

Manusia hari ini  berkemampuan mengarah fitrah kepada haluan yang betul untuk mengulangi sejarah kegemilangan Islam yang dulu bakal menyelamatkan diri kita, keluarga, masyarakat, negara, dunia dan Islam seluruhnya....sebelum itu, marilah kita renungi hidup kita ini (lebih2 lagi penulis yang hina dan kerdil ini), ada tiga persoalan yang mempengaruhi pemikiran setiap manusia dalam hidup ini, atau timbul persoalan itu ketika mengiringi jenazah ke kuburan atau dikala manusia melihat kubur..

siapakah yang mencipta manusia ini?

apakah hakikat kehidupan manusia?

dan bagaimana pengakhiran nasib manusia sesudah mati?....

Carilah jawapan anda sendiri.. selagi kita bernafas rebutlah peluang....

RABBANA ATINAFIDDUNIA HASANAH WAFILAKHIRATI HASANAH WAQINA 'AZABANNAR....AMIN..

*entri ini dikongsikan di facebook oleh ummi tercinta..

Wednesday, December 8, 2010

Itulah Hikmah



Seorang pelajar madrasah tergesa-gesa ingin pulang ke kampungnya. "Di kampung saya muncul seorang guru yang sesat yang telah mempengaruhi saudara dan teman-teman saya. Saya perlu pulang segera untuk mencegah kemungkaran!" "Sabar dulu. Aku ingin mengajarmu sedikit lagi tentang hikmah", kata gurunya.
"Tak sempat, saya perlu cepat!" Si pelajar segera bergegas pulang ke kampungnya.

Di sana dilihatnya guru yang sesat itu sedang mengajar.

"Aku ahli syurga. Aku telah nampak syurga dengan mata kepalaku. Sesiapa yang mengikut ajaranku akan masuk ke syurga. Kamu harus berbakti kepadaku dengan menyerahkan segala harta dan tenagamu". Begitulah kata-kata guru yang sesat itu.

Apalagi, dia pun berteriak dengan lantang, "Kamu sesat! Tidak ada siapapun yang selamat jika mengikut ajaranmu!"
"Berani kau membantah kata-kata ahli syurga! Wahai pengikut-pengikutku, ajar pemuda yang kurang ajar ini!" perintah guru itu kepada pengikutnya.

Para pengikut guru yang sesat itu segera bertindak. Mereka menumbuk, menampar dan menendang si pemuda yang berani mengecam guru mereka.

Dengan tubuh dan muka yang berlumuran darah dan tangan yang patah, pelajar itu kembali ke madrasah pengajiannya.
"Aku dipukul oleh pengikut setia ajaran sesat", adu pelajar itu kepada gurunya.

"Dalam usaha mencegah kemungkaran, kita bukan sahaja perlukan keberanian tetapi ilmu serta kebijaksanaan. Mari kita berangkat ke sana!"

Sesampai sahaja di sana mereka terus ke tempat guru itu mengajar.

"Saya ahli syurga. Saya boleh beri jaminan bahawa sesiapa yang sayang dan berbakti kepada saya akan masuk syurga. Sebelum kamu bertaubat kepada Allah, kamu wajib bertaubat kepada saya", kata guru sesat itu menjalankan diayahnya.

"Ya, tuan memang ahli syurga", tiba-tiba suara guru pelajar itu kedengaran dari belakang.

Para pengikut guru yang sesat itu berpaling. Mereka lihat seorang lelaki yang belum mereka kenali mengucapkan perkataan itu.

Si guru itu tersenyum sambil berkata, "Saya datang dari jauh untuk bertemu dengan ahi syurga. Guru di tempat saya berpesan, apabila datang bertemu dengan tuan, tidak cukup kita menyerahkan harta dan memberikan tenaga kepada tuan, tetapi mesti mengambil cenderahati sebagai bukti kecintaan daripada tuan!"

"Bukti kecintaan kepada saya? Silakan", kata guru sesat itu dengan senang hati.

"Guru saya berpesan, jika hendak masuk syurga bersama tuan, hendaklah ada pada kami sehelai bulu daripada mana-mana bahagian tubuh tuan sebagai berkat."

Sebaik sahaja berkata demikian, dia terus meluru ke hadapan dan menarik janggut guru sesat itu sambil berkata, "Ayuh saudara-saudara! Mari kita cabut sebarang bulu pada kulit tuan guru kita sebagai bekalan menuju syurga!"
Mendengar seruan itu, semua pengikut yang taksub itu meluru dan menerpa guru mereka. Ada yang mencabut rambut, mencabut bulu rambut, bulu dada, bulu ketiak dan bermacam-macam lagi.
"Aduh, aduh! Sakit! Sakit!" jerit guru sesat itu. Tetapi orang ramai tidak peduli. Mereka ingin masuk syurga. Dagu dan kepala guru sesat itu luka-luka. Darah mengalir. Badan dihenyak, bahkan kainnya hampir dilondehkan.
"Jangan-jangan! Aku bukan ahli syurga! Jangan cabut bulu-buluku! Aku sakit, Aku sakit!" jeritnya.
"Dengar itu saudara-saudara! Semua ini tipuan belaka. Dia manusia biasa macam kita juga. Syurga hanya diraih dengan ketaatan yang ikhlas kepada Allah. Jangan bertuhankan manusia," kata si guru kepada pengikut-pengikut guru sesat itu.

Sambil merenung pelajarnya dia bertanya, "Sekarang kau mengerti?"
"Ya, sekarang saya mengerti apa itu hikmah!"


Pengajaran : Dalam berdakwah kebenaran perlu disepadukan dengan kebijaksanaan. Tanpa kebijaksanaan, kebenaran akan ditolak. Dan yang paling penting, jangan gopoh dan gelojoh dalam berdakwah.

*Cerita ringkas lagi padat ini dipetik daripada majalah Solusi