Wednesday, December 8, 2010

Itulah Hikmah



Seorang pelajar madrasah tergesa-gesa ingin pulang ke kampungnya. "Di kampung saya muncul seorang guru yang sesat yang telah mempengaruhi saudara dan teman-teman saya. Saya perlu pulang segera untuk mencegah kemungkaran!" "Sabar dulu. Aku ingin mengajarmu sedikit lagi tentang hikmah", kata gurunya.
"Tak sempat, saya perlu cepat!" Si pelajar segera bergegas pulang ke kampungnya.

Di sana dilihatnya guru yang sesat itu sedang mengajar.

"Aku ahli syurga. Aku telah nampak syurga dengan mata kepalaku. Sesiapa yang mengikut ajaranku akan masuk ke syurga. Kamu harus berbakti kepadaku dengan menyerahkan segala harta dan tenagamu". Begitulah kata-kata guru yang sesat itu.

Apalagi, dia pun berteriak dengan lantang, "Kamu sesat! Tidak ada siapapun yang selamat jika mengikut ajaranmu!"
"Berani kau membantah kata-kata ahli syurga! Wahai pengikut-pengikutku, ajar pemuda yang kurang ajar ini!" perintah guru itu kepada pengikutnya.

Para pengikut guru yang sesat itu segera bertindak. Mereka menumbuk, menampar dan menendang si pemuda yang berani mengecam guru mereka.

Dengan tubuh dan muka yang berlumuran darah dan tangan yang patah, pelajar itu kembali ke madrasah pengajiannya.
"Aku dipukul oleh pengikut setia ajaran sesat", adu pelajar itu kepada gurunya.

"Dalam usaha mencegah kemungkaran, kita bukan sahaja perlukan keberanian tetapi ilmu serta kebijaksanaan. Mari kita berangkat ke sana!"

Sesampai sahaja di sana mereka terus ke tempat guru itu mengajar.

"Saya ahli syurga. Saya boleh beri jaminan bahawa sesiapa yang sayang dan berbakti kepada saya akan masuk syurga. Sebelum kamu bertaubat kepada Allah, kamu wajib bertaubat kepada saya", kata guru sesat itu menjalankan diayahnya.

"Ya, tuan memang ahli syurga", tiba-tiba suara guru pelajar itu kedengaran dari belakang.

Para pengikut guru yang sesat itu berpaling. Mereka lihat seorang lelaki yang belum mereka kenali mengucapkan perkataan itu.

Si guru itu tersenyum sambil berkata, "Saya datang dari jauh untuk bertemu dengan ahi syurga. Guru di tempat saya berpesan, apabila datang bertemu dengan tuan, tidak cukup kita menyerahkan harta dan memberikan tenaga kepada tuan, tetapi mesti mengambil cenderahati sebagai bukti kecintaan daripada tuan!"

"Bukti kecintaan kepada saya? Silakan", kata guru sesat itu dengan senang hati.

"Guru saya berpesan, jika hendak masuk syurga bersama tuan, hendaklah ada pada kami sehelai bulu daripada mana-mana bahagian tubuh tuan sebagai berkat."

Sebaik sahaja berkata demikian, dia terus meluru ke hadapan dan menarik janggut guru sesat itu sambil berkata, "Ayuh saudara-saudara! Mari kita cabut sebarang bulu pada kulit tuan guru kita sebagai bekalan menuju syurga!"
Mendengar seruan itu, semua pengikut yang taksub itu meluru dan menerpa guru mereka. Ada yang mencabut rambut, mencabut bulu rambut, bulu dada, bulu ketiak dan bermacam-macam lagi.
"Aduh, aduh! Sakit! Sakit!" jerit guru sesat itu. Tetapi orang ramai tidak peduli. Mereka ingin masuk syurga. Dagu dan kepala guru sesat itu luka-luka. Darah mengalir. Badan dihenyak, bahkan kainnya hampir dilondehkan.
"Jangan-jangan! Aku bukan ahli syurga! Jangan cabut bulu-buluku! Aku sakit, Aku sakit!" jeritnya.
"Dengar itu saudara-saudara! Semua ini tipuan belaka. Dia manusia biasa macam kita juga. Syurga hanya diraih dengan ketaatan yang ikhlas kepada Allah. Jangan bertuhankan manusia," kata si guru kepada pengikut-pengikut guru sesat itu.

Sambil merenung pelajarnya dia bertanya, "Sekarang kau mengerti?"
"Ya, sekarang saya mengerti apa itu hikmah!"


Pengajaran : Dalam berdakwah kebenaran perlu disepadukan dengan kebijaksanaan. Tanpa kebijaksanaan, kebenaran akan ditolak. Dan yang paling penting, jangan gopoh dan gelojoh dalam berdakwah.

*Cerita ringkas lagi padat ini dipetik daripada majalah Solusi

No comments:

Post a Comment