Thursday, April 28, 2011

Bernilai = berbayar, Tak Ternilai = free of charge?

Maha Suci Allah swt yang Maha Agung lagi Maha Kaya. Segala yang ada di bumi dan langit beserta seluruh isinya adalah milik-Nya.


Mari sejenak kita berfikir kos untuk hidup di dunia yang sementara ni. Duit untuk makan, duit sewa rumah, duit buku, yuran pengajian, duit minyak kereta, bil air, bil elektrik, duit belanja anak-anak, dan macam-macam lagi duit dan bil yang perlu dilunaskan apabila cukup bulan.


Memikirkannya sahaja sudah cukup untuk menyerabutkan neuron-neuron dalam otak, membuatkan kita mengeluh, belum lagi memerah kudrat untuk melunaskannya.


: : bil daripada Allah? : :


Setiap benda dalam dunia berbayar. Hatta nak menunaikan hajat pun ada cajnya di tandas awam. Bagaimana pula dengan nikmat Allah yang tak terhitung? seperti udara yang segar, air sungai yang mengalir dingin,anggota badan yang sihat, pancaindera, alam sekitar, keluarga, masyarakat, keamanan dan sebagainya. Maksud firman Allah swt sebagai peringatan kepada manusia,
"Dan sekiranya engkau menghitung nikmat-nikmat Allah, (pasti) ia takkan terhitung."
[ Ibrahim : 34 ]
Cuba kecilkan skop semua nikmat yang Allah kurniakan, kepada nikmat udara sahaja. Bumi adalah tempat yang paling sesuai untuk dihuni manusia berbanding planet lain di dalam cakerawala yang sangat besar ini. Hanya di bumi terdapat komposisi gas yang sesuai bagi manusia, gabungan nitrogen, oksigen dan selebihnya merangkumi karbon dioksida, gas nadir serta wap air.


Bayangkan, Allah swt keluarkan bil oksigen yang kita hirup sejak lahir hingga sekarang. Kadar oksigen untuk setiap kali bernafas ialah RM 1. Kajian menunjukkan, manusia dewasa bernafas sebanyak 18,000 hingga 30,000 kali sehari. Katakan secara purata 20,000 kali sehari, ini bermakna dalam tempoh hayat 21 tahun, seseorang sudah bernafas sebanyak 21 X 365 X 20,000 = 153,300,00 kali. Bersamaan dengan nilai bil yang perlu dibayar, ialah sebanyak RM 153 juta! [ hanya anggaran, semestinya nilai sebenar adalah tidak ternilai ]


: : syukur = bill payment! : :


Jika wang ringgit merupakan medium untuk melangsaikan bil dan bayaran kita sesama manusia, maka syukur adalah medium untuk membayar kembali nikmat kurniaan Allah kepada kita. Maksud firman Allah swt,


"Makanlah olehmu rezeki yang (dianugerahkan) Tuhanmu dan bersyukurlah kepada-Nya."

[ Saba' : 15 ]


Pernah suatu ketika dahulu, orang ramai merasakan sukar untuk mendefinisikan erti sebenar syukur secara tepat. Lalu seorang tabi'in yang bernama al-Junadah mengatakan,


"Syukur itu tidak menggunakan nikmat kurniaan Allah swt untuk melakukan maksiat pada-Nya"


Selain itu, memperbanyak ucapan alhamdulillah [ Segala Puji Pada Allah ] dan menggunakan nikmat yang terdapat pada diri untuk membantu sesama manusia dan makhluk juga cara terbaik untuk bersyukur.


Bersyukur dengan nikmat yang nampak sedikit dan kecil. Sekiranya tidak mampu untuk bersyukur dengan nikmat yang sedikit, bagaimana mahu bersyukur dengan nikmat yang lebih besar dan banyak.


Di dunia ini, kita membayar untuk mendapat sesuatu kemudahan. Tapi nikmat Allah yang tak terhingga itu datangnya secara percuma, tanpa perlu dibayar. Hanya syukur pada-Nya yang perlu dipanjatkan seikhlasnya..


wallahu a'lam..


[adaptasi daripada buku "Online dengan Tuhan" karangan Zulkifli Khair terbitan PTS]

Thursday, March 31, 2011

Bukan ITU, tapi ATAS..





Ulang kaji semula pemahaman hadis rukun islam..

......................................................................................................

Dalam sebuah empayar yang luas jajahannya dan besar kuasanya, terdapat 2 orang kontraktor. Mereka diberi tugasan untuk menyiapkan sebuah binaan yang melambangkan keagungan empayar mereka dalam tempoh yang ditetapkan oleh pemerintah tertinggi. Siapa yang terbaik binaannya berhasil mendapat ganjaran terbaik.

Masing-masing mula bekerja. Setelah beberapa bulan, binaan mereka selesai dan siap untuk diperiksa. Pemerintah mula memeriksa. Kontraktor pertama membina sebuah bangunan yang cantik tersergam, menepati ciri-ciri yang diingini. Kontraktor kedua menyiapkan 5 lapis batu asas yang sangat kukuh dan kemas, dengan tambahan cat pelbagai warna, tapi di atasnya kosong. Langsung tidak ada dinding atau bumbung. Si pemerintah berkata,

"Batu asas yang kamu bina ini sangat kuat dan cantik, tapi mana pergi bangunan di atasnya?"

Kontraktor pun menjawab dengan yakin, "Bagi saya, membina batu asas yang begitu kuat lagi indah inilah lambang kehebatan empayar kita.."

Tamat pemeriksaan, pemerintah itu memberi yang setimpal atas apa yang diusahakan. Sagu hati kepada kontraktor kedua yang membina batu asas itu sebagai menghargai penat lelahnya membina batu asas yang sangat kukuh, dan menghadiahkan ganjaran terbaik kepada kontraktor pertama, di mana bangunannya melambangkan keagungan empayar.

_t_a_m_a_t___a_n_a_l_o_g_i_

empayar hebat = Islam
pemerintah = Allah
kontraktor 1 = muslim yg islamnya syumul merangkumi seluruh hidup
kontraktor 2 = muslim yg hanya menunaikan 5 rukun islam sahaja.


Gambaran contoh di atas menyamai orang islam yang mengatakan,

"Aku dah mengucap syahadah, solat, puasa, zakat dan buat haji, cukup la tu sebagai seorang Islam.."
Islam itu lima rukun dan lima rukun itu Islam, cukup dengan mengamalkan 5 asas Islam yang utama adalah memadai sebagai seorang muslim, adalah tanggapan yang dibauri salah faham. Satu sabda rasul saw yang cukup dikenali,

Abu Abdurrahman Abdullah bin Umar bin Khattab ra berkata, "Aku pernah mendengar Rasulullah saw bersabda,

"Islam didirikan atas lima (rukun), penyaksian bahawa tiada tuhan melainkan Allah, dan Muhammad pesuruh Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, melaksanakan ibadah haji dan berpuasa Ramadhan"

[ hadis riwayat Bukhari dan Muslim ]

rukun = tapak = batu asas

Penelitian kepada maksud hadis di atas, iaitu pada awal lafaz sabda Rasulullah saw "Islam DIDIRIKAN ATAS lima..", bukan "islam ITU lima..". Mengucap dua kalimah syahadah, solat, zakat, puasa Ramadhan dan haji hanyalah batu asas dalam agama Allah. Terbinanya di atas asas tersebut ialah bangunan Islam yang merangkumi keseluruhan hidup. Akhlak mulia, taat ibu bapa, menutup aurat, ukhuwwah islamiyyah, dakwah, dan jihad sebagai puncak tertinggi dalam binaan Islam, sebagai contoh.
Praktikal sebagai muslim memerlukan pemahaman segenap erti mengapa Islam diutuskan menyeluruhi kehidupan manusia, tanpa tertinggal satu aspek pun, termasuk sekecil-kecil perkara.

 Masa-masa yang berlalu adalah petanda menghampiri kiamat kecil sebelum kiamat besar bagi muslim, iaitu mati. Maksud hikmah daripada Imam Hassan al-Banna,

"Kewajiban lebih banyak daripada masa yang ada"

Dalam menghadapi waktu kita yang semakin singkat, pendek dan tidak akan diulang, wajarkah kita sekadar membina batu asas Islam sahaja?

Andai kata kita berpeluang menyertai pertandingan melukis dalam masa yang ditetapkan, adakah kita hanya mengharapkan sagu hati? ataupun ingin menjuarai pertandingan sebagai johan? Fitrah kita akan mengatakan tidak kepada sagu hati, bahkan ingin mendapat tempat pertama dan akan membuat yang terbaik untuk menjadikannya realiti.

Hidup ini, ianya perlumbaan untuk mempertingkat dan memperbanyak amalan kerana Allah swt dalam masa yang terhad, sebelum maut menjemput. Maksud firman Allah swt,

" Kemudian Kitab (alQuran) itu kami wariskan kepada yang terpilih di antara hamba-hamba Kami, lalu di antara mereka ada yang menzalimi diri sendiri, ada yang pertengahan dan ada (pula) yang lebih dahulu [berlumba] berbuat kebaikan* dengan izin Allah. Yang demikian itu adalah kurnia yang besar" [ Faatir 35 : 32 ]

*3 golongan manusia di dalam perlumbaan hidup :

1/"menzalimi diri sendiri" ialah orang yang lebih banyak kesalahannya daripada kebaikannya,

2/"pertengahan" ialah orang yang sama kebaikannya dengan kesalahannya,

3/"orang yang lebih dahulu berbuat kebaikan" ialah orang-orang yang kebaikannya sangat banyak dan sangat jarang berbuat kesalahan.

Pilihan di tangan kita untuk menjadi orang yang biasa-biasa, atau orang yang luar biasa yang sentiasa menjuarai dalam mempersembah amalan kepada-Nya.

Maksud kata-kata Ibnu Taimiyyah tentang pengertian ibadah,

"Satu nama yang merangkumi setiap perkara yang disukai Allah dan diredhai-Nya, dari segi perbuatan dan perkataan"

Jadi, cantikkan bangunan Islam kita dengan praktikal yang menyeluruh dalam setiap perkara sebagai ibadah, dan tidak mensia-siakan apa yang dilakukan tanpa niat yang ikhlas kerana Allah..

wallahu a'lam..

Friday, February 25, 2011

Catatan Ringkas Krisis Yaman

muzaharah menuntut keadilan..

Kini sebulan berlalu sejak revolusi Tunisia dan Mesir. Satu persatu negara arab timur tengah terkesan dengan perubahan 2 negara itu, kebangkitan rakyat menjatuhkan rejim yang zalim. Libya, Bahrain, Algeria, Jordan dan Maghribi antaranya. Begitu juga Yaman, rakyatnya turut serta dengan revolusi Timur Tengah.

Tunjuk perasaan daripada rakyat Yaman saban hari diadakan, tengah hari dan malam. Gerakan anti-kerajaan dan pro-kerajaan saling menarik situasi. Antara slogan yang kerap dilaungkan oleh anti-kerajaan sewaktu demo,
"rakyat mahukan kejatuhan rejim!"

"berambus Ali! dari bumi kami!"
2 gerakan, anti-kerajaan dan pro-kerajaan saling menarik situasi. Beberapa daerah telah berlaku pertumpahan darah yang mencatat angka kematian melebihi belasan orang, sejak mulanya tunjuk perasaan.
Walaupun pergolakan tidak sehebat Libya, yang angka kematiannya mencecah 2000 orang, kekhuatiran tetap ada di negara yang bebas senjata ini, sebarang kemungkinan boleh terjadi.
..ringkasan peristiwa di ibu negara..
Di Sana'a [ibu negara], kawasan strategik untuk berdemonstrasi diambil alih oleh penyokong kerajaan presiden Ali Abdullah Saleh. Antaranya Maidan Tahrir dan lapangan besar berdekatan dengan masjid Rais [masjid Presiden, terbesar dan termewah di Yaman]. Khemah2 dibina. Mereka juga dibekalkan dengan daun Qat, comforter, dan cota untuk menyuraikan pembangkang yang cuba berdemonstrasi [di Maidan Tahrir].

Oleh itu, perhimpunan anti-kerajaan beralih tumpuan dan diadakan di bandar Dairy, di hadapan Sana'a University. Juga tidak ketinggalan perhimpunan daripada penyokong kerajaan, yang diupah keluar untuk menunjuk perasaan dengan ongkos tertentu.

Beberapa hari lepas, berkesempatan untuk keluar ke bandar Dairy mendapatkan bekalan kecemasan. Jalan-jalan dipenuhi orang ramai. Jalan utama di hadapan Sana'a University di kawal rapi oleh anti-kerajaan yang sedang berdemonstrasi. Pemeriksaan dilakukan kepada setiap orang yang ingin melalui jalan itu, kami juga tidak terlepas untuk diperiksa. Sebab utama pemeriksaan diadakan untuk mencegah kemasukan pro-kerajaan yang membawa senjata. Pernah berlaku penyokong kerajaan menyusup masuk ke dalam demonstrasi anti-kerajaan dan melepas tembakan, selain terdapat polis yang menembak mesingan ke udara. Dan pada bahagian lain, penyokong kerajaan juga terlibat dalam tunjuk perasaan.
Sahabat yang lain ada menceritakan pengalaman mereka sewaktu pergi ke bandar Dairy, melihat kereta milik pro-kerajaan dibakar, kerana membawa senjata api ke kawasan demonstrasi anti-kerajaan. Juga ada solat jenazah yang dilakukan di atas jalan berturap. Pertempuran ringan seperti saling melontar batu antara pro dan anti adalah antara yang disaksikan.
..pesan kedutaan Malaysia..

Minggu lalu, terdapat perjumpaan rakyat Malaysia dengan wakil kedutaan Malaysia bertempat di rumah persatuan pelajar Malaysia.
Pesan dan garis panduan duta kepada rakyat Malaysia yang berada di Yaman :
- Jaga keselamatan, jauhkan diri daripada demo2 yang berlangsung.
-Daftar nama dengan persatuan Malaysia, untuk memudahkan perhubungan dengan keluarga kalau ada apa2 yang berlaku.
-Kalau ada apa2 yang berlaku, rakyat Yalaysia di Yaman akan berkumpul di rumah2 wakil2 kedutaan Malaysia.
-Buat masa sekarang, cukupkan bekalan asasi. Antaranya air minum, beras, minyak masak, gas, tepung, dan lain2 untuk tempoh tertentu.

-Untuk masa sekarang, keadaan di Yaman masih terkawal. Demo banyak berlaku di tempat lain. Jauh daripada tempat tinggal student. [setakat ini]
-Jika ada duit dalam bank, keluarkan. Siap sedia untuk sebarang kemungkinan.

-Semua dokumen penting mesti disimpan rapi, seperti pasport, kad pengenalan.

-Tidak menyusahkan dan merisaukan keluarga dengan khabar2 yang kurang pasti.

-Jika keadaan darurat dan memaksa untuk pulang ke tanah air, evakuasi seperti di Mesir akan dilaksanakan.


* moga segala kesulitan dirungkaikan secepat mungkin dengan izin-Nya, dan tidak berpanjangan.. wAllahu a'lam.

Sunday, January 2, 2011

Madah Pembuka Tirai





Tahun lalu,
di akhiri dengan timbunan infiniti kenangan,
yang lumrahnya manis dan pahit,
takkan dapat ditatap kembali walaupun seketika,
juga terisi dalamnya pengalaman dan pengajaran,
yang bisa nilainya melampaui emas dan permata,

Harapan ini,
cukuplah jahiliyyah yang selama ini mencalit,
cukuplah lagha yang selama ini menghimpit,
cukuplah kepudaran berukhuwwah yang selama ini menyempit,
harapan ini ingin bebas daripada benaman-benaman itu dengan nafas hammasah yang baru,

Tahun ini yang mendatang,
lembaran baru, muka baru mesti dibuka,
mengakhiri helaian lama yang dipenuhi dakwat-dakwat pekat maksiat dan dosa,
Alhamdulillah, syukur kerana masih diberi peluang untuk menghela lagi milik-Nya,
demi menunaikan amanah hamba dan khalifah sebaiknya,
tujuan utama di bangkitkan di dunia fana,

Doaku,
moga Allah mengampuni seluruh dosa diri, ibu bapa dan keluarga,
serta sahabat-sahabat yang disayangi dan seluruh muslimin yang dicinta,
dan menghadiahkan rahmat-Nya yang tidak dibatasi umur dan masa,

Doaku,
moga tahun ini bakal menjadi sejarah terhebat yang pernah diukir sepanjang hidup,
hebatnya ia disisi Allah dan rasul-Nya,

Doaku, 
ingin menyaksikan lebih ramai manusia yang menghajati rahmat dan hidayah-Nya,
dengan mewarisi amanat agung para anbiya' dan rasul-Nya,

Doaku,
moga diri ini dan seperjuangan semuanya terus dikukuhkan kaki sekukuh-kukuhnya,
untuk menghayati roh dakwah dan tarbiyah yang suci,
dalam praktikal sebagai manusia yang dimuliakan kerana Islam,
dan kukuhnya ia seperti gunung-gunung memasak bumi,
takkan goyah walaupun digegar ribut dan taufan,

Doaku,
pada setiap yang sudi membaca nukilan fakir ini,
moga Allah menyayangimu seperti mana Dia menyayangi lima 'Ulul azmi-Nya,
dan dilimpahkan nur hidayah-Nya pada segenap dirimu dan keluargamu,
dan jika sesuatu kebenaran terzahir, 
Allah mengurniakan padamu rezeki untuk mengikutinya,
dan jika sesuatu kebatilan terzahir,
Allah mengurniakan padamu rezeki untuk menjauhinya,
dan moga taqwa menjadi pakaianmu, 
akhlak mulia dan mahmudah menjadi perhiasanmu,
kalam Allah dan sabda baginda saw menjadi madah bicaramu,
serta dijauhkan sejauh-jauhnya daripada umpat dan keji dalam tutur katamu,
dan moga Allah swt memenuhi setiap hajatmu,
dan akhir usiamu dalam iman dan islam,
dengan izin-Nya insya Allah..

"Ya Allah, kurniakan pada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan jauhkanlah kami dari azab neraka-Mu"  amin..