Sunday, October 25, 2009

Selayang pandang di negeri orang..


pemandangan pinggir Sana'a


bismiLlahhirrahmanirrahim..

Alhamdulillah, saat ini sudah 4 minggu keberadaan diri di bumi Sana’a, Yaman. Syukur alhamduliLlah, Allah s.w.t memberi peluang pada diri ana untuk semakin sembuh daripada demam sejak beberapa hari lalu lantaran tidak dapat membiasakan diri dengan perubahan cuaca. Dan ianya sebagai tazkirah pada ana bahawa sihat itu sesuatu nikmat yang sangat2 aula bagi setiap insan, walaupun kurang disedari kewujudannya, maksud hadis Rasulullah s.a.w “ 2 nikmat yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia, kesihatan dan waktu lapangnya”. Bagi muslim, kesihatan merupakan elemen terpenting dalam pelaksanaan sesuatu ibadah.




Mesti best kalau kita sentiasa sihat macam 2 kucing ni..

Sepanjang tempoh itulah juga ana melalui pelbagai perkara yang sangat2 baru dan lain daripada suasana di Malaysia.
Perkara paling kontra yang telah ana temui di sini ialah budaya Islam yang di amalkan, di mana penduduk di sini amat menitik beratkan solat fardu berjemaah di masjid. Bila azan dilaungkan, beramai2 mereka bergerak ke masjid. Bagi segelintir peniaga yang sangat mengambil berat tentang waktu solat mereka, premis perniagaan akan ditutup sementara waktu demi kelangsungan solat jemaah. Satu kisah benar yang diceritakan berkaitan dengan peniaga yang menjaga waktu solatnya, di mana perniagaan makanannya menjadi tumpuan orang ramai dan sangat laris jualannya, hingga tempat² duduk di premisnya sentiasa penuh dengan pelanggan. Mungkin inilah yang dikatakan keberkatan dari Allah s.w.t, wAllahu a'lam.

suasana solat berjemaah di masjid

Selain itu, masjid² di sini dimeriahkan dengan bacaan al-Quran oleh segenap lapisan masyarakat, terutama selepas menunaikan solat jemaah, mereka tidak tergesa-gesa untuk terus pulang ke rumah. Daripada yang kecil hinggalah kepada yang tua, masing² sibuk dengan mushaf sendiri. Terdapat juga sesetengah kanak² dan remaja² yang bertalaqqi dengan syeikh di masjid untuk memperdalamkan kemahiran al-Quran mereka.


Bersama2 bertilawah al-Quran selepas solat

Ingin ana kongsikan perkara menarik sewaktu berkesempatan melawat masjid al-Jame’ al-Kabir (The Grand Mosque) yang bertempat di Bab al-Yaman, boleh dikatakan hampir setiap tiang masjid tersebut terdapat seorang syeikh sekurang²nya yang menyandarinya, dan pada mereka terdapat mushaf² besar yang dimakan usia keadaannya. Duduk tersandar di tiang sambil jari telunjuk bergerak perlahan² menelusuri satu persatu kalimah di helaian al-Quran, tanda sedang membaca dan mentadabburnya dengan tenang, apabila penat mereka akan berbaring untuk tidur sebentar melepaskan kepenatan. Lagak mereka seolah² ingin menghabiskan sisa² hidup mereka bertemankan kalamuLlah disisi, seakan menemui keindahan hidup bersama al-Quran. Ya Allah, jadikan kami para pencinta kalam-Mu ya Allah, ameen.




Seorang pemuda yang buta memperdengarkan bacaan al-Qurannya kepada sheikh

Begitulah serba sedikit khibrah yang telah ana ana lalui di Yaman. Mungkin semua itu hanyalah sekelumit daripada sebesar² hikmah dan pengajaran yang ada di sana. Dan 2 isu yang ana ketengahkan kali ini, iaitu tentang solat jemaah di masjid dan kebudayaan al-Quran dalam kalangan penduduk, kerana pada pendapat ana 2 perkara ini merupakan tunjang utama bagi kita yang bergelar umat muslim, solat jemaah di masjid melambangkan kesatuan ummah, manakala budaya al-Quran menandakan perhubungan yang kukuh dengan Allah s.w.t.
WAllahu a'lam..

Sunday, October 18, 2009

Rehlah Jadidah fi ArdhiLllah..





bergambar sewaktu melawat kawasan Jami'ah al-Iman


Setibanya di Yaman dari Malaysia, ditemani dengan 2 pengiring, Us. Wan Subky Wan Salleh dan Us. Lokman Awang, kami di sambut oleh beberapa orang pelajar senior yang sudah beberapa tahun menetap di Yaman. Kebanyakan mereka pelajar dari universiti al-Iman, Sana'a.



                              di Wadi Dahr                                          


Antara program yang diaturkan untuk kami oleh pelajar² lama, iaitu berpeluang mengadakan lawatan ringkas di beberapa tempat menarik dan bersejarah di Yaman, antaranya Wadi Dahr, di mana di situ terdapat sebuah istana lama yang dikenali sebagai Dar al-Hajar @  "The Grand Palace", yang menjadi tempat berehat bagi sultan di Yaman apabila tiba musim panas sebelum beliau digulingkan dengan revolusi.
 

                                  di Dar al-Hajar                                    


Kami juga dibawa melawat Bab al-Yaman atau dikenali sebagai Sana'a Qadimah, adalah satu kota lama yang telah dibina sejak berkurun lalu oleh Sam bin Nuh, iaitu anak kepada nabi Nuh a.s.,  dan sekarang ini telah dijadikan sebagai tempat perniagaan bagi penduduk Yaman. 



                           di al-Jame' al-Kabir                                       


Di Bab al-Yaman terdapat sebuah masjid yang telah lama dibina, dan merupakan masjid yang pertama dan tertua di Yaman, iaitu al-Jame' al-Kabir. Sejarah ringkas mengenai mukjizat Rasulullah s.a.w tentang masjid ini ialah para sahabat dari Yaman telah bertanyakan kepada baginda di mana hendak dihadapkan masjid mengikut kiblat dari Makkah. Lalu Rasulullah s.a.w menyuruh menghadap bukit Dheen, dan tugas itu disempurnakan oleh seorang sahabat baginda s.a.w yang bernama Wabr ibn Muhannats. Apabila saintis masa kini membuat kajian tentang perkara tersebut, ternyata ianya bertepatan dengan hadis Rasulullah s.a.w, iaitu masjid yang menghadap bukit tersebut selari dengan kaabah di Makkah.. Allahu akbar, besarnya kebesaran Allah s.w.t.


                         batu asas masjid al-Jame' al-Kabir (warna biru)                              


Antara tempat yang bersejarah sempat dilawati ialah Qulais, atau lebih dikenali sebagai kaabah Abrahah, di mana ia telah dibina berteraskan benci dan dengki oleh Abrahah yang telah menyerang Kaabah dengan tentera bergajahnya. Kebanyakan penduduk di sekitar Bab al-Yaman menganggap tempat tersebut tempat yang dilaknat dan malang, dan jangan terkejut kerana disekeliling tempat itu juga dijadikan 'tandas ekspres' oleh penduduk setempat lantaran namanya yang tidak baik. 

  
                       Qulais atau Kaabah Abrahah (belakang kereta putih)                        


Walaupun agak banyak tempat yang telah kami lawati, namun itu hanyalah sedikit daripada keseluruhan tempat² bersejarah yang ada di Yaman. Ternyata Yaman kaya dengan khazanah sejarah silam tinggalan tamadun terdahulu, antara tempat bersejarah yang lain ialah Ma'arib, iaitu lebih dikenali sebagai negeri Saba', pusat pemerintahan Puteri Balqis di zaman nabi Sulaiman a.s. 

Kesimpulannya, walau di mana pun kita berada, tetap di bawah kekuasaan Allah s.w.t yang Maha Agung. Bekas-bekasan dan puing² orang terdahulu memberi pengajaran kepada kita selaku muslim bahawa tiada pemilikan yang kekal di dunia ini, hatta jasad tubuh badan kita sendiri pun kita tidak berkuasa ke atasnya, apa yang kita ada hanyalah pilihan, sama ada untuk berada di jalan-Nya sebagai hamba-Nya atau terpesong daripada jalan-Nya sebagai orang yang sesat.. Na'udzubiLlahi min dzaalik..

Wallahu a'lam..