Tuesday, November 30, 2010

Bapak, Anak dan Paku






Ada seorang anak yang tinggal bersama dengan bapaknya. Si anak adalah seorang yang panas baran dan sering marah², tidak kira siapa orangnya. Semua menjadi mangsa.

Suatu ketika si bapak memikirkan penyelesaian untuk sikap anaknya itu. Dia memanggil anaknya untuk bersua,

"Nak, bapak ada cadangan untuk kau jika kau didatangi kemarahan"

"Apa yang bapak ingin cadangkan untuk saya?", anak itu tertanya².

"Baiklah, setiap kali kau marah, ambil sebatang paku dan pakukan ia di dinding"

Kemudiannya, anak bersetuju dengan cadangan bapaknya itu. Apabila marah, diambilnya sebatang paku dan menukulnya ke dinding. Setiap kali kemarahannya bertandang, dia berbuat begitu. Tidak ada kemarahan yang meledak melainkan dinding dipaku selepasnya. Sehingga sampai satu masa, dinding yang ditetapkan oleh ayahnya itu dipenuhi dengan paku. Anak itu pun bertemu dengan ayahnya,

"Bapak, dinding yang bapak suruh saya paku tu dah penuh dengan paku. Dah tak ada ruang untuk dipaku lagi"

"Sudah penuh dan tidak ada ruang langsung?", bapak inginkan kepastian.

"Benar, sudah tidak ada ruang lagi", anak menyambung.

"Jikalau begitu, sekarang bapak mahu kau tahan kemarahan kau apabila ia datang. Setiap kali kau berjaya menahannya daripada terzahir pada riak wajah dan perbuatan kau, cabutlah kembali satu paku yang pernah kau pakukan pada dinding yang bapak sebutkan. Ingat! Hanya apabila kau mampu menahannya. Jika tidak mampu, biarkan saja. Boleh kau lakukan?" nada bapak seakan mencabar.

"Saya akan cuba sedayanya yang termampu", anak menyahut.

Jika sebelumnya anak menukul paku kerana marah, kini dia mula mencabutnya apabila berjaya menahan marah. Penuh mujahadah dia menahan marahnya dan mencabut paku² di dinding. Semakin hari semakin berkurang paku² itu, seiring dengan sifat marah yang semakin mengikis. Sehingga habis semuanya dicabut. Anak itu kembali bertemu bapaknya dengan gembira.

"Terima kasih bapak.. saya rasa sangat lega sebab berjaya mengawal kemarahan saya.. dan tak mudah lagi untuk marah² selepas ikut cadangan bapak..", sambil tersenyum lebar.

"Baguslah kalau begitu nak. Sekarang mari ikut bapak ke tempat yang telah kau cabut pakunya itu"

Si anak menurut ayahnya hingga ke tempat tersebut. Bapak mula bersuara,

"Nak, lihatlah dinding yang dipenuhi lubangan paku yang telah kau cabut. marah itu ibaratnya paku yang melubangi dinding seperti hati. Walaupun kau berdaya menahan kemarahan kau daripada meledak lagi ke atas orang lain, parutnya tetap ada terbekas.. seperti dinding yang telah dilubangi itu"





. . . . . .


Kisah ringkas ini menyifatkan kesan marah ke atas orang lain. Umpama dinding yang dilubangi paku.

Jika dilihat dari sudut lain, kemarahan bukanlah semata2 perbuatan yang meninggalkan parut dalam hati saudara kita. Boleh jadi tutur kata kita yang tidak dijaga, perbuatan kita yang menimbulkan kemarahan saudara dan kekurangan peribadi yang tidak disenangi [mazmumah]. Semua itu kesannya sama seperti paku. Boleh menyebabkan hati yang lain terluka, berparut dan mencalari permukaan mutiara ukhuwwah yang memancarkan keindahan ukhuwwah islamiyyah.

Kerana hati manusia itu sangat halus, sensitif. Kemungkinan gurau senda yang disangka madu menambah kemanisan ukhuwwah, tapi hakikatnya pada saudara kita.. seperti jadam pahitnya.

Semampunya, perbuatan dijaga sebaiknya dengan penuh perhatian daripada menyakiti saudara secara tidak sengaja apatah lagi secara sengaja, dalam komunikasi dan interaksi sesama. Kerana mungkin parut yang yang terhasil sukar untuk hilang walaupun dimaafkan.

Dan jika kita disakiti, berusahalah untuk memaafi. Kerana rasulullah saw memilih untuk memaafi puak Tho-if yang menyakiti dan menghina baginda saw, walaupun ditawarkan oleh malaikat untuk menghempap puak tersebut dengan bukit. Dan kerana Allah swt itu Maha Pengampun lagi Maha Memaafi, yang mengampuni dosa² hamba-Nya walaupun sebanyak pepasir di pantai..

"Dan bersegeralah kamu mencari ampunan dari Tuhanmu dan
mendapatkan syurga yang
luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi
orang-orang yang bertakwa,
(yaitu) orang yang berinfaq, baik di waktu lapang
mahupun sempit, dan
orang-orang yang
menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan)
orang lain
.Dan
Allah mencintai orang-orang yang berbuat
kebaikan,
"
- maksud firman Allah swt

[ Ali 'Imran 3 : 133 - 134 ]


wallahu a'lam..