Wednesday, June 30, 2010

Kisah Ikhlas..



Pernah suatu ketika berlaku peperangan untuk memperluas pembukaan islam ke tempat baru. Para mujahidin islam dipimpin seorang panglima, Muhammad ibnu Salamah.

Saat itu juga ketumbukan tentera islam menemui kesulitan untuk menerobosi kubu musuh yang kukuh pertahanannya.

Namun dengan kuasa Allah, keadaan itu tidak lama berlangsung. Salah seorang daripada perajurit islam berjaya menyusup masuk ke dalam benteng pertahanan musuh dan membuka laluan bagi kemasukan tentera islam ke dalamnya. Tentera islam lalu berhasil memperolehi kemenangan setelah dapat menawan kubu musuh dengan izin-Nya.

Muhammad ibnu Salamah sangat bersyukur dengan kemenangan islam dan terbukanya satu lagi tempat yang bernaung di bawah agama Allah. Beliau juga tertanya-tanya siapakah gerangan yang berjaya masuk ke dalam tempat musuh dan menyumbang dalam kemenangan tentera islam.
Pejuang-pejuang islam lalu dikumpulkan kesemuanya. Muhammad ibnu Salamah mengumumkan agar peribadi yang membantu membuka laluan tentera islam ke dalam kubu musuh menampilkan diri. Usaha beliau menemui kebuntuan kerana tiada seorang pun yang keluar daripada barisan tentera islam, walaupun diseru berkali-kali.Perhimpunan tersebut akhirnya berakhir tanpa ada pengakuan daripada seorang pun.

Apabila malam menjelma, sewaktu Muhammad ibnu Salamah sedang berada di dalam khemahnya, seorang mujahid meminta keizinan kepada beliau untuk masuk berjumpa dengannya. Beliau memberi keizinan atas permohonan itu.

Ketika mujahid islam itu masuk, Muhammad ibnu Salamah agak terkejut kerana dia memakai penutup muka dan tidak terzahir wajahnya kecuali dua matanya. Beliau pun bertanya kepada mujahid yang berpenutup muka itu,

"Siapakah kamu? dan mengapakah kamu berpenutup muka?"

"Aku akan menjawab pertanyaanmu dan membuka penutup muka ini jika kamu berjanji untuk mematuhi 3 syaratku"

Muhammad ibnu Salamah kemudiannya bersetuju untuk mematuhinya.

"3 syarat-syaratku itu ialah :
- tidak mengkhabari khalifah tentang diriku
- tidak memberitahu kepada sesiapa pun tentang diriku
-dan tidak memberiku apa-apa ganjaran "
Si penutup muka itu menyambung lagi,
"Aku adalah orang yang bertanggungjawab menyusup masuk ke dalam kubu musuh dan membuka laluan tentera islam untuk masuk ke dalamnya pada peperangan yang lalu"

Muhammad ibnu Salamah tidak menyangka bahawa lelaki berpenutup muka itulah perajurit yang membantu kepada kemenangan tentera islam di bawah pimpinannya. Lelaki itu pun membuka penutup mukanya seketika seperti yang dijanjikan, selesai sahaja ditatap oleh Muhammad ibnu Salamah, dia pun mengorak langkah keluar dari khemah beliau.

* * *




Kisah lelaki berpenutup muka adalah kisah tentang ikhlas. Ikhlas dalam amalan kerana Allah swt, di mana segala apa yang dikerjakan semata-mata mengharapkan reda Allah swt. Kisah sohib an-naqb [ orang yang berpenutup muka ] ini, pemiliknya kekal misteri ke hari ini.

Ceritanya harum mewangi bersama sejarah islam yang gilang-gemilang suatu ketika dahulu dan bakal gemilang kembali tidak lama lagi insya-Allah.

"Katakanlah (Muhammad saw) "Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan seluruh alam, tidak ada sekutu bagi-Nya; dan aku adalah yang pertama-tama berserah diri (muslim)"

[Al-An'aam 162-163]

Wallahu a'lam..